Penduduk di negara China tidak ketinggalan dalam soal memiliki akaun laman rangkaian sosial.
Bagi orang ramai â khasnya generasi muda â yang berkunjung ke China, pelbagai kejutan menanti. Salah satu yang saya anggap sebagai kejutan terbesar adalah berkaitan penggunaan Facebook, blogspot, Twitter dan YouTube.
Saya mengalami sendiri âkejutanâ ini sewaktu menyertai lawatan selama sepuluh hari (12-21 Julai 2011) ke Beijing atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd bersama-sama Jasmine Koh, Izan Ali dan Nurul Fadzillah.
Kami memang ada mendengar sebelum ini bahawa laman rangkaian sosial Facebook disekat oleh kerajaan China tetapi kami tidak begitu memandang berat perkara itu.
Saya pula sempat memberi pesanan kepada rakan-rakan menerusi catatan pada ruangan status Facebook bahawa saya akan menyampaikan perkembangan diri saya di Beijing menerusi Twitter dan catatan di blog.
Bagaimanapun, apabila tiba di Beijing, pemandu pelancong kami, Tan See Hua yang berasal dari Tangkak, Johor memaklumkan bahawa Twitter dan blogspot juga tidak dapat diakses.
Sebenarnya silap kami berempat juga kerana tidak mendapatkan maklumat terperinci sebelum datang ke Beijing. Saya sendiri sepatutnya telah bertanya kepada pensyarah Universiti Pengajian Antarabangsa Shanghai, Dipika Mukherjee mengenai perkara-perkara asas ini.
Saya bertanya kepada See Hua, calon PhD di Institut Teknologi Beijing, bagaimana kehidupan orang ramai â khasnya generasi muda â di China tanpa Facebook, Twitter, YouTube dan blogspot.
âWalaupun semua itu tiada di sini, pengguna internet masih ada pelbagai alternatif yang hampir setaraf dan boleh juga diakses oleh rakan-rakan mereka di seluruh dunia,â kata pemuda berumur 29 tahun itu yang menjadi pemandu pelancong, penterjemah dan penasihat kami selama empat hari yang pertama kami di Beijing.
Sebagai ganti kepada Twitter, pengguna di China boleh memilih Weibo yang menampilkan ciri-ciri yang hampir sama; termasuk kemudahan âmentionâ, âretweetâ, âreplyâ dan âpersonalâ.
Malah, pengguna Weibo boleh dikatakan mendapat kelebihan berbanding pengguna Twitter kerana walaupun kedua-duanya menghadkan 140 aksara, jangan kita lupa bahawa setiap aksara dalam tulisan Cina adalah satu perkataan.
Maknanya, pengguna Weibo mampu menyampai satu cerita atau karangan pendek dalam satu mesej sementara pengguna Twitter hanya menyampaikan satu ayat!
Tidak hairanlah penggunaan Weibo semakin popular bukan hanya di China tetapi juga di seluruh dunia dalam kalangan pengguna bahasa Cina.
Alternatif kepada Facebook
Menurut See Hua lagi, sekatan kerajaan terhadap YouTube tidak pula bermakna penduduk negara China terputus terus hubungan dengan dunia luar.
Sebaliknya, laman-laman seperti Tudou dan Youku menyajikan pelbagai pilihan yang tidak kurang âhebatâ berbanding apa yang mampu diakses pengguna YouTube.
Bezanya hanyalah bahawa rata-rata laman-laman ini menggunakan bahasa Cina walaupun kandungannya adalah dari seluruh dunia. Namun begitu, bahasa pasti sahaja tidak menjadi halangan kepada pengguna luar â seperti saya â untuk mengakses laman-laman berkenaan untuk melihat sendiri kandungan yang disajikan.
Antara alternatif kepada Facebook adalah QQ dan Renren. Ciri-ciri, kemudahan dan aplikasi di kedua-dua rangkaian sosial ini sama sahaja seperti Facebook yang menjadi semacam kegilaan di Malaysia.
Memandangkan akses Facebook disekat oleh kerajaan China, maka penduduk menggunakan pelbagai laman rangkaian sosial lain. Bagi See Hua dan rakan-rakan dari Malaysia, mereka juga mempunyai akaun Weibo dan QQ untuk memudahkan komunikasi sosial di ruang maya bersama rakan-rakan di China.
âSelain daripada itu, rakan-rakan kami di luar China juga sudah mula meminati Weibo, QQ dan Renren kerana memudahkan komunikasi menggunakan bahasa ibunda,â ulas pemuda itu semasa saya berbual bersamanya bagi tujuan menulis artikel ini.
Bagi blogger pula, mereka mempunyai peluang menggunakan laman seperti Sina dan Blogbus untuk menulis pandangan, pengalaman dan komen mereka untuk tatapan.
Weibo, Tudou, Youku, QQ, Renren, Sina dan sebagainya juga dipantau ketat oleh kerajaan. Mana-mana kandungan yang bercanggah dengan polisi kerajaan, akan dibuang segera.
âNamun begitu, kehadiran Weibo, misalnya, amat penting bagi penduduk di sebuah negara yang amat besar seperti China. Mereka dapat tahu mengenai sesuatu berita dengan amat cepat.
âMalah, pihak media juga membuka akaun Weibo untuk menyampaikan berita-berita ringkas kepada pengguna; sama seperti yang dilakukan pelbagai portal berita di Malaysia menerusi Twitter,â kata See Hua.
Perbualan kami adalah sebagai sampingan kepada kunjungan ke pelbagai tempat bersejarah di Beijing dalam usaha menulis sebuah buku panduan pelancongan terbitan One Nusantara Sdn Bhd.
Apabila See Hua mengulas mengenai Weibo dan Youku, saya segera teringat bagaimana Twitter dan YouTube digunakan secara amat berkesan untuk menyalurkan serta menyebar-luaskan perkembangan terkini perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Perisian khas
Dalam kes Bersih, walaupun media yang dikuasai kerajaan hanya menyiarkan âsebahagianâ berita mengenai apa yang berlaku, orang ramai tidak âketinggalanâ kerana sudah terlebih dahulu menerima berita âlengkapâ hampir setiap minit mengenai apa yang berlaku.
Begitu juga jika mana-mana pihak cuba menafikan insiden peserta perhimpunan dikasari pihak tertentu atau lokasi-lokasi sebenar gas pemedih mata ditembak.
Kesemua maklumat berupa fakta itu dirakam secara visual dan sudah tersebar dalam kalangan rakyat seluruh dunia menerusi YouTube dan Facebook. Sukar untuk sesiapa menukar fakta demi agenda peribadi.
Berbalik kepada soal sekatan akses Facebook, Twitter dan sebagainya di China, penduduk di sini khabarnya masih mampu menggunakan cara tersendiri untuk memasuki laman-laman berkenaan.
Khabarnya terdapat perisian khas yang dinamakan Freegate dan diedarkan secara percuma untuk membolehkan orang ramai di China mengakses Facebook, Twitter, YouTube dan sebagainya menggunakan server dari luar.
Namun, seperti kata See Hua, sekatan yang dikenakan oleh kerajaan sebenarnya membantu mencambahkan daya kreativiti dan inovasi dalam kalangan rakyat jelata.
Uthaya Sankar SB kagum dengan kehebatan budaya tradisi dan kemajuan teknologi canggih yang disaksikan sendiri di Beijing, China.







