Suhakam: Polis tak nak bicara tapi terus hukum

Jamilah Kamarudin
 | January 25, 2012

Shaani berkata polis sepatutnya mendidik masyarakat supaya tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang -undang.

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Shaani Abdullah berpendapat institusi polis seolah-olah tidak faham dengan prinsip hak asasi manusia terutamanya dalam hal bertolak ansur semata-mata untuk melindungi kepentingan kumpulan tertentu.

Malah mereka menyalahgunakan kedudukan dengan mengurangkan kebebasan rakyat hanya untuk memudahkan kerja sendiri sedangkan tanggungjawab polis adalah untuk melindungi semua rakyat dan bukan untuk golongan majoriti, dakwa Shaani.

“Tak nak (guna) waran tapi mahu terus tangkap, tak nak bicara tapi mahu terus hukum,” tegurnya selepas mendengar aduan daripada wakil gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) Badrul Hisham Shaharin di pejabat Suhakam di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas mengenai cara polis bertindak menangani serangan kumpulan samseng semasa program ceramah anjuran ABU dan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada malam 21 Januari lalu.

Shaani berkata polis sepatutnya mendidik masyarakat supaya tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan bukannya menggunakan hukum sendiri dengan menyerang majlis ceramah tersebut.

“Majlis diadakan oleh badan yang sah, bukannya majlis anjuran kongsi gelap. Kalau rakyat marah, pergi buat aduan polis bukan guna hukum sendiri,” katanya.

Turut hadir mendengar aduan tersebut Pegawai Bahagian Aduan dan Siasatan Suhakam Yustina Ishak.

Polis disyaki bersubahat

ABU dalam memorandumnya kepada Suhakam mendakwa salah seorang dari kumpulan penceroboh yang mengganggu ceramah itu adalah pegawai polis yang tidak mengenakan pakaian seragam dan mengesyaki polis bersubahat dengan kumpulan penyerang terbabit.

Badrul juga berkata polis pada malam kejadian tidak mengambil apa-apa tindakan walaupun penyerang masih ada di tempat kejadian, sebaliknya menyuruh penganjur memberhentikan ceramah.

Selain memorandum, turut dikemukakan bukti rakaman video serangan malam kejadian dan gambar penyerang yang dikenal pasti.

Beliau turut menafikan laporan akhbar Berita Harian bahawa seramai 1,000 penduduk yang tidak berpuas hati mengepung dewan berkenaan, sebaliknya mendakwa hanya kira-kira 10 pemuda dipercayai penyokong Barisan Nasional (BN) mengganggu dengan menjerit dengan kata-kata perkauman sambil mengugut orang ramai keluar dari dewan itu.

“Mereka kemudian mengejar dan menyerang hadirin berrketurunan India dengan kayu, topi keledar serta mencampak kerusi ke merata tempat.

“Berikutan itu, sorang lelaki India yang juga ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS mengalami kecederaan dan sehingga hari ini masih ditahan dalam wad,” katanya.

Sehubungan itu, ABU menuntut supaya Suhakam menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat kejadian itu dan mengumumkan laporan penyiasatan tersebut.

Gerakan itu juga mahu Suhakam memastikan penyerang terlibat dikenakan tindakan undang-undang selain mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan menggunakan kekerasan dan berbaur perkauman bagi menghalang hak orang awam berhimpun secara aman.

“Kami juga mahu Suhakam menyiasat sama ada polis bersubahat dengan penyerang yang terlibat,” katanya.

Sementara itu Shaani dalam responnya berkata pihaknya akan membawa perkara ini ke mesyuarat pesuruhjaya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya dalam mesyuarat itu terpulang kepada keputusan Suhakan sama ada wajar suruhanjaya itu ditubuhkan atau mengadakan sesi pendengaran inkuiri awam.

Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


Recent Posts

Archives

January 2012
M T W T F S S
« Dec   Feb »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031