Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Pilih pemimpin yang mujahid, kata Nasrudin

 | March 18, 2011

Pemilihan pemimpin perlu mengelak dari perasaan simpati, kecenderungan memilih "kroni", hebat berceramah atau pengaruh peribadi.

PETALING JAYA: Ahli-ahli PAS dinasihat memilih para pemimpin yang mempunyai ciri-ciri mujahid, yang berjuang untuk menegakkan Islam secara syumul.

“Malah, bukan hanya dilihat melalui karisma politiknya tetapi juga memilih pemimpin yang muttaqin dan faham objektif serta matlamat perjuangan suci yang dibawa oleh PAS,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi.

Beliau berkata, “adalah menjadi kewajipan kita untuk memilih pemimpin yang mempunyai semangat waja dan gigih untuk berjuang mendepani cabaran luaran mahupun dalaman sehingga Islam dapat ditegak.”

Nasrudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan dalam Muktamar Tahunan PAS Jun depan di Taman Melawar Gombak, Kuala Lumpur selama tiga hari.

Muktamar kali ini katanya, amat penting kerana ia diadakan menjelang pilihan raya umum ke 13, yang dijangka berlangsung pada Julai depan.

Justeru itu, beliau menasihati ahli-ahli supaya tidak memilih pemimpin atas dasar simpati, yang cenderung kepada “kroni”, yang hebat berceramah mahupun yang ada pengaruh peribadi.

Ujar beliau, “hindarkan pemilihan secara rambang tanpa menilai kemampuan dan kelayakan individu yang dipilih dan patut dihindari sebarang bentuk lobi melobi yang negatif.

Sensitif kepada keperluan jemaah

“Neraca pertimbangan para perwakilan dalam memilih pemimpin mestilah sensitif dan peka terhadap keperluan jemaah, tuntutan ummah dan kredibiliti pemimpin,” katanya.

Katanya lagi, adalah menjadi kewajipan kita memilih pemimpin yang jelas aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), bukan mereka yang menganut fahaman sekular, Syiah atau apa jua fahaman yang bertentangan dengan ASWJ.

Beberapa jawatan utama termasuk Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Nasharuddin Mat Isa dijangka ditandingi dan antara yang disebut ialah Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Naib Presiden Mohamad Sabu.

Nasrudin juga berharap muktamar parti berlangsung dalam suasana yang memberangsangkan ke arah membina reputasi parti yang hebat, penuh dengan analisis, ‘post mortem’ yang jujur dan telus serta lontaran idea yang bernas daripada perwakilan, katanya.

Justeru, tambahnya sangat tidak wajar muktamar dibiarkan berlangsung suram dan hambar tanpa perbahasan yang mantap dan bernas ekoran dari lontaran idea yang kritis dan dinamis.

Beliau berkata, “Muktamar jua ibarat makmal untuk melakukan bedah siasat terhadap aktiviti dan perjalanan parti secara telus dan jujur.

“Tidak menyembunyikan fakta apatah lagi menyelewengkannya. Pemimpin dan anggota parti pula mesti bersikap berlapang dada dan mendengar pandangan, cadangan, teguran dan kritikan membina dari dua hala, lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya,” kata Nasrudin lagi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments