Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Ordinan Darurat: Peguambela temui 6 tahanan PSM

 | July 7, 2011

Menurut peguam Edmund Bon, mereka disoal berhubung perhimpunan Bersih Sabtu ini.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan peguam yang mewakili enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang baru-baru ini bertemu anak guam mereka hari ini.

Menurut salah seorang peguam, Edmund Bon, beliau dapat menemui anak guamnya, salah seorang daripada enam yang ditahan, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj di Balai Polis Jinjang dekat sini apabila membuat protes.

“Seramai lima anggota polis mengerumuni saya semasa saya bertemu anak guam,” kata beliau yang menemui Dr Jeyakumar bersama peguam Redzuan Yusuf dalam satu sidang akhbar di Bangsar petang tadi.

“Mereka (polis) membuat rakaman video ketika saya bertemu anak guam dan ini merupakan satu pencabulan hak terhadap Dr Jeyakumar untuk mendapatkan nasihat daripada peguam,” kata beliau.

Edmund turut mendedahkan bahawa laporan asal menyatakan bahawa penahanan mereka berkaitan dengan perhimpunan Bersih yang dijadualkan Sabtu ini.

“Selain itu saya tidak nampak mengapa anak guam perlu digari semasa berjumpa dengan peguam,” katanya lagi.

Edmund mendakwa pihak polis bertindak dengan niat jahat.

“Anak guam kami terlibat dalam kempen “Udahlah..bersara Barisan Nasional”…. tapi bukan berkempen untuk Bersih.

“Oleh itu lebih baik mereka dibebaskan sebelum kerajaan dimalukan di mahkamah,” kata Edmund berasaskan kepada fakta bahawa kesemua mereka disoal berkaitan Bersih dan aktiviti mereka yang lepas.

Terus berjuang

Sementara itu isteri Dr Jeyakumar, R Rani yang mewakili kesemua keluarga tahanan mendakwa penahanan mereka berenam ini umpama “bidak dalam drama orang lain” kerana mereka tidak terlibat dengan Bersih.

“Kita akan meneruskan perjuangan membebaskan mereka,” ujar Rani.

Keenam-enam mereka ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Butterworth pada 2 Julai lalu atas tuduhan terlibat dengan anasir subversif setelah dibebaskan dari tahanan reman selama tujuh hari.

Selain Dr Jeyakumar, pasukan peguambela turut bertemu tahanan-tahanan yang lain.

Peguam B Maha dan Azri Malik bertemu tahanan M Saraswathy di Balai Polis Kepong; D Yudistira dan Fatimah Ismail bertemu R

Sarathbabu di Balai Polis Dang Wangi; K Arumugam menemui A Letchumanan di Selayang; James Kong dan Lau Hui Hui menemui Sukumaran di Jalan Travers manakala Abdul Shukor Tachil dan Low When Zern menemui Choo Chon Kai di Petaling.

Meskipun kesemua tahanan tidak diberikan kemudahan menggunakan pen, mereka sempat memberikan mesej kepada keluarga dan penyokong mereka.

Edmund Bon menyatakan anak guamnya Dr Jeyakumar menyatakan bahawa aktivitinya hanya dibuat dalam kerangka demokrasi.

Menurut para peguam, Chon Kai mahu perhimpunan Bersih diteruskan dan mendakwa penahanannya adalah tidak sah.

Saraswathy pula mahu peguam dan ahli keluarganya berjuang untuk mendapatkan hak melawat manakala Sugumaran dan Letchumanan menyatakan bahawa mereka tidak bersalah.

Sarathbabu pula menyatakan bahawa penahanannya hanya menjadikan dirinya lebih cekal untuk berjuang.

Beliau turut merungut bahawa kuah ayam di Bukit Aman terlalu berminyak, menurut Yudistira.

Sementara itu, Edmund mengumumkan bahawa permohonan ‘habeas corpus’ oleh pihak keluarga bagi mereka berenam akan dilakukan pada hari Isnin depan.

“Satu lagi permohonan daripada pihak kami, para peguambela akan dibuat secepat mungkin,” kata Edmund.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments