Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Najib umum subsidi beli rumah program MyHome

February 13, 2014

Pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 untuk rumah terpilih pada harga kos rendah.

PUTRAJAYA: Program MyHome akan dilancarkan April ini bagi membolehkan pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 untuk mereka membeli rumah terpilih pada harga kos rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Majlis Perumahan Negara, yang dipengerusikan beliau hari ini.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju memperuntukkan RM300 juta tahun ini bagi menjayakan program berkenaan, yang disasar untuk melibatkan 10,000 unit rumah.

Katanya menerusi program itu, subsidi akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos rendah mengikut definisi yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Misalnya kalau kerajaan negeri menetapkan rumah kos rendah pada harga RM40,000, sedangkan pemaju terpaksa menjual rumah pada harga RM70,000, maka kalau pemaju dan pembeli berkenaan layak untuk mengambil bahagian dalam skim ini, maka rumah RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000, dan baki RM30,000 dibayar kerajaan,” katanya dalam persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di bangunan Perdana Putra di sini.

Kadar ikut negeri

Najib berkata ini bermakna pembeli hanya perlu membayar rumah itu mengikut harga rumah kos rendah di negeri berkenaan, iaitu RM40,000, manakala baki RM30,00 akan dibayar oleh kerajaan.

Majlis Perumahan Negara diumumkan penubuhannya pada pembentangan Bajet 2014 bagi tujuan memantau, menyelaras dan merumus pelbagai inisiatif untuk memastikan hasrat kerajaan membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun tercapai.

Perdana Menteri berkata antara syarat yang ditetapkan peserta program ini ialah pembeli perlu memperoleh berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan mereka tidak boleh menjual rumah itu dalam tempoh 10 tahun.

Katanya pemaju boleh memohon untuk dipertimbangkan ke program ini oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan nanti, dan apabila diluluskan barulah mereka boleh iklankan unit-unit yang layak diberi subsidi berkenaan, manakala dari segi pembayaran, kerajaan akan membayar terus kepada pemaju.

“Ini supaya pembeli dapat manfaat daripada skim ini, dan ia memudahkan lagi bagi mereka mendapat pinjaman bank, sebab mereka sudah layak untuk dipertimbangkan,” katanya.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments