Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr M : BR1M punya banyak implikasi negatif

 | November 14, 2014

Pendapatan per kapita tidak boleh dijadikan ukuran pencapaian status negara maju

mahathir 300KUALA LUMPUR : BR1M mempunyai lebih banyak implikasi negatif. Ia meningkatkan kecederungan kebergantungan terhadap Kerajaan, sehinggakan kepada sumber pendapatan seseorang, tanpa sebarang usaha. Ia melemahkan karakter rakyat dan mengurangkan kemampuan daya saing mereka.

Mantan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyuarakan kebimbangan beliau mengenai BR1M melalui blognya semalam seterusnya mengimbas kembali masa-masa lalu di mana sebagai Perdana Menteri, sejak awal lagi beliau menentang pemberian bantuan kewangan sebagai salah satu usaha untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat. Seandainya bantuan kewangan diberikan, ia adalah untuk golongan yang miskin tegar yang tidak berdaya bekerja demi mendapatkan pendapatan.

Menurut Dr M, beliau agak keberatan berbuat demikian kerana pemberian seumpama itu kelihatan seumpama rasuah. Dan, apabila ianya dberikan pada waktu menjelang pilihanraya atau dijanjikan di dalam manifesto, ia memberi tanggapan seumpama usaha membeli undi dan keadaan tersebut memang sukar disangkal. Sekiranya mahu mempertingkat pendapatan, ia hendaklah dengan cara membuka peluang pekerjaan atau perniagaan.

Dengan nada rendah diri, Dr M mengakui tidak pernah dilatih sebagai pakar ekonomi atau ahli kewangan. Bagaimanapun, beliau merasakan adalah tidak adil jika ada yang berpendapat beliau tidak memahami BR1M dan kebaikannya. Beliau juga pernah membuat keputusan berkaitan ekonomi dan kewangan yang mana telah memberi manfaat kepada negara.

“Kita berkehendakkan pendapatan yang tinggi. Bagaimanapun, pendapatan tinggi hendaklah diperolehi daripada produktiviti. Produktiviti tinggi hasil daripada pendidikan dan latihan yang lebih baik.” Beliau memberi contoh, seorang buruh yang bekerja secara manual semestinya tidak akan lebih produktif daripada seorang mekanik atau tukang. Mereka juga tidak akan setanding produktiviti seorang jurutera. Kemampuan meningkatkan produktiviti adalah hasil daripada peningkatan nilai tambah sesuatu produk.

Seterusnya, tambah Dr M, apabila kita mempromosi pelbagai industri dengan nilai tambah, pendapatan para pekerja secara langsung akan meningkat berikutan sumbangan mereka yang bertambah. Perlu diingat bahawa negara-negara dengan pendapatan Kerajaan yang tinggi daripada eksploitasi sumber asing, dan rakyat diberikan sebahagian daripada hasil tersebut untuk menikmati gaya hidup yang selesa, menjadi punca kurang minat bekerja di kalangan rakyat.

Pemberian wang tidak akan meningkatkan produktiviti. Tanpa peningkatan produktiviti, daya saing juga tidak akan bertambah baik. Justeru, pertumbuhan ekonomi tidak akan berlaku. Negara-negara ini telah terbiasa bergantung kepada tenaga kerja buruh, eksekutif dan usahawan asing.

Dr M seterusnya menjelaskan bahawa ketika Malaysia mula mengamalkan polisi penggalakkan industri berasaskan buruh, ia adalah kerana pada ketika itu ramai rakyat yang menganggur dan tidak mempunyai pendapatan. Setelah itu, sebagai usaha meningkatkan pendapatan pula, teknologi tinggi dan industri berasaskan pengetahuan diperkenalkan dan rakyat diberi pelajaran dan latihan selayaknya untuk menangani industri berpendapatan tinggi yang lebih sofistikated.

“Kita hendak mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Jika kita fikir ia dapat dicapai dengan meningkatkan purata pendapatan ke suatu tahap, tanggapan itu sebenarnya salah. Beberapa orang yang berpendapatan tinggi akan mengganggu purata pendapatan ini. Pendapatan per kapita tidak boleh diukur berdasakan pencapaian status negara maju. Penekanan terhadap pendapatan tinggi saja tidak cukup. Malah, negara tidak akan mencapai status maju hanya dengan faktor itu saja. Lebih meleset sekiranya pendapatan tersebut adalah kerana kebergantungan kepada pemberian kerajaan,” jelas Dr M.

Memandangkan kita hendak mencapai status negara maju mengikut acuan sendiri, kita boleh menolak nilai-nilai moral sesetengah negara maju. Kita hendaklah mengekalkan nilai-nilai moral sedia ada dan mengamalkan etika baik yang mana akan menyumbang ke arah produktiviti dan pendapatan.

Dengan kata lain, ujar Dr M, kita hendaklah menambah pendapatan melalui peningkatan produktiviti dan bukan bantuan Kerajaan. Akhir sekali, perlu diingat bahawa wang Kerajaan adalah hasil daripada pungutan cukai rakyat. Cukai meningkatkan kos sara hidup. Tetapi, rakyat sanggup bertahan dengan peningkatan kos sara hidup kerana mereka mengharapkan Kerajaan memberi jaminan keselamatan, memerintah negara dengan baik, mempunyai polisi yang memberi manfaat kepada rakyat umum.

Bagaimanapun, rakyat tidak mahu melihat cukai yang dibayar itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan lain. Pastinya, mereka tidak mahu hasil pendapatan daripada kerja keras itu dibelanjakan untuk memenangi populariti bagi sesiapa atau mana-mana parti politik atau pihak pentadbiran.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments