AMANAH dilihat gelojoh – penganalisis
AMANAH tidak layak minta kerusi ahli majlis PBT kerana masih baharu
PETALING JAYA: AMANAH tidak layak meminta kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Pendapat itu diutarakan,Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang berpandangan masih terlalu awal untuk berikan kerusi ahli majlis PBT kepada parti itu.
“Sebenarnya belum wajar lagi (AMANAH minta kerusi ahli majlis PBT) sebab mereka parti baharu,mereka kena tunggu pilihan raya akan datang kalau mereka menang, baru mereka boleh tuntut. Tetapi, oleh kerana mereka menuntut, Azmin (Menteri Besar Selangor) terpaksa meraikannya.
“Mereka telah menunjukkan bahawa mereka ini nak cepat dan gelojoh mahu mendapatkan jawatan berbanding memperkasakan parti mereka itu sendiri. Jika mereka menang mereka akan menuntut kerusi EXCO pula,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya PAS menerima jawatan sebagai Menteri Besar Selangor kerana AMANAH tidak punyai keberanian menuntut kerusi-kerusi ahli majlis PBT itu.
Pada masa sama, beliau turut menjangkakan situasi politik Selangor akan lebih getir dengan pertandingan tiga penjuru yang bakal berlaku pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“PAS akan bertanding di 15 kawasan yang dimenangai sebelum ini dan sudah pastinya AMANAH akan bertanding di kerusi tersebut (untuk mengelak bertembung dengan PKR dan DAP). Jadi di sini akan berlaku konflik tiga penjuru PAS, AMANAH dan UMNO,” ujarnya.