Jurucakap Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland, Andre Marty berkata, Najib bukan pegawai awam yang disenarai dalam prosiding jenayah itu.
Andre menjelaskan, menurut undang-undang Swiss, terma ‘orang yang tidak dikenali’ digunakan dalam siasatan jenayah jika kesalahan yang dilakukan dan pelakunya masih belum dikenal pasti.
Terdahulu, AG Switzerland mengumumkan prosiding jenayah dibuka pada 14 Ogos 2015 terhadap dua bekas pegawai syarikat dana milik negara, 1MDB dan individu yang tidak dikenali.
Akhir bulan lalu pula, OAG meminta bantuan Malaysia bagi siasatan ke atas dana yang disalah guna dari syarikat 1MDB.
Berikutan itu, wujud spekulasi bahawa Najib adalah salah seorang suspek siasatan Peguam Negara Swiss lebih-lebih lagi selepas Peguam Negara Malaysia, Mohd Apandi Ali baru sahaja mengumumkan Najib sebagai tidak bersalah dalam kes skandal kewangan derma RM2.6 bil dan RM42 juta bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Pada 1 Februari, Financial Times yang berpusat di London melaporkan bahawa AG Swiss mendakwa ‘wujud elemen jenayah’ dalam empat kes yang melibatkan dana 1MDB dalam tempoh 2009 hingga 2013, meskipun tiada satupun menamakan Najib sebagai suspek.
Lima syarikat yang berkaitan dengan kes tersebut ialah PetroSaudi; SRC Antarabangsa; Genting; Tanjong; dan ADMIC, syarikat usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments yang dikawal oleh Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa dari Abu Dhabi.
Manakala, dalam laporan berita Reuters semalam, pihak berkuasa Singapura dipetik berkata pihakya telah merampas sejumlah besar akaun bank dalam siasatan mengenai kemungkinan berlaku jenayah pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
Walau bagaimanapun kenyataan 1MDB pula menyatakan pihaknya belum dihubungi oleh pihak berkuasa Singapura berhubung dakwaan tersebut.
