Blog Tun M: Polis hanya siasat jika ada laporan
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan status atau penulisan bekas Perdana Menteri itu boleh membuat laporan polis.
KUALA LUMPUR: Polis akan hanya menyiasat tulisan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya sama ada mempunyai elemen hasutan atau sebaliknya jika ada laporan polis yang dibuat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan status atau penulisan bekas Perdana Menteri itu boleh membuat laporan polis.
“Kalau ada yang tak berpuas hati, buat laporan, kami akan siasat.
“Lepas tu kami akan lihat jikalau wujudnya elemen hasutan atau perlanggaran undang-undang dalam penulisan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kursus ‘Training of Trainers Bahaya Militan Islamic State’ di Saloma Bistro hari ini.
Khalid menambah, pihaknya akan hanya menyiasat sesuatu laporan jika ia dilapor pada polis.
“Memang betul dalam kes-kes tertentu kita tidak memerlukan laporan polis, tetapi dalam kes ini kita memerlukannya,” tegasnya.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa, muatnaik posting Mahathir bertajuk “AG to AG” (peguam negara kepada peguam negara) bertarikh 3 Februari itu bersifat menghasut.
“Saya terkejut apabila membaca kenyataan Dr Mahathir di blognya yang sangat jelas mengandungi kata-kata menghasut. Saya benar-benar tidak tahu apakah niat beliau yang sebenar. Apakah ini strategi politiknya untuk meraih simpati?
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Dalam muat naik itu, Dr Mahathir mendakwa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak akan mendakwa perdana menteri dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan Najib.