Cadangan Peguam Negara tindas wartawan, editor – Rafizi
Perkara ini akan menjadi isu di peringkat antarabangsa ekoran ia satu bentuk penindasan terhadap wartawan dan kebebasan media
PETALING JAYA: Cadangan Peguam Negara yang mahu meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dan media yang melaporkannya disifatkan sebagai satu penindasan kepada wartawan dan editor.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sejak tujuh tahun lalu, pelbagai salah laku, penyelewengan dan rasuah telah didedahkan kepada orang ramai berikutan dokumen-dokumen yang bocor.
“Saya tahu bahawa kebocoran maklumat merupakan salah satu sebab utama imej BN jatuh merudum kerana selalu disabitkan dengan salah laku rasuah dan penyelewengan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian Online.
Rafizi mendakwa, punca kebocoran maklumat adalah disebabkan rasuah dan penyelewengan di peringkat pimpinan kerajaan sehingga menyebabkan pihak yang mengetahui perkara itu mengambil risiko membocorkannya demi kepentingan umum.
“Fenomena meningkatnya maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat (whistleblowers) juga menunjukkan kurangnya keyakinan mereka kepada kemampuan badan-badan penguatkuasaan berlaku adil menyiasat penyelewengan tersebut secara bebas.
“Maka sepatutnya tindakan beliau (Mohamed Apandi) ialah membuktikan bahawa beliau berani bertindak bebas dan adil, bukannya mengugut untuk mengetatkan lagi Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi mengesyor supaya Mohamed Apandi membatalkan hasrat meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum terjebak dalam kebangkitan kemarahan rakyat.
“Saya akan memulakan satu kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menolak cadangan pindaan ini dan menuntut Peguam Negara bertindak secara bebas, telus dan adil.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Memandangkan cadangan pindaan ini adalah satu bentuk penindasan terhadap wartawan dan kebebasan media, saya percaya perkara ini akan menjadi isu di peringkat antarabangsa,” ujarnya.