Enam bulan pasca GST, sikap beli belah rakyat berubah
Selepas GST, sebanyak 28% menyatakan mereka kini berbelanja lebih dan 33% menyatakan bahawa kurang berbelanja.
PETALING JAYA: Satu kajian menunjukkan selepas enam bulan perlaksanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sikap membeli belah rakyat berubah.
Menurut Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Katharine Davis, walaupun terdapat cadangan supaya rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan dan menabung dengan lebih banyak, tetapi jelas ia tidak dapat dilaksana.
“Mereka terpaksa menghabiskan lebih banyak wang untuk mengekalkan keperluan semasa.
“GST telah memberi kesan yang besar dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kajian tersebut dibuat oleh Ipsos Malaysia terhadap 1,002 rakyat Malaysia di Semenanjung yang mempunyai pelbagai latar belakang.
Ia menunjukkan 61% rakyat Malaysia terkesan dari segi keupayaan mereka untuk membeli belah ekoran GST.
Dalam kajian yang sama juga, sebanyak 28% menyatakan mereka kini berbelanja lebih dan 33% menyatakan bahawa kurang berbelanja manakala selebihnya, tiada perubahan dalam perbelanjaan membeli belah.
Sebanyak 28% yang berbelanja lebih adalah disebabkan kenaikan harga oleh GST (50%) manakala peningkatan harga disebabkan penurunan nilai ringgit (31%).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Manakala daripada 33% rakyat Malaysia yang kurang berbelanja pula, 27% menyatakan bahawa mereka terpaksa berbuat demikian kerana GST dan 18% kerana ekonomi yang tidak menentu.