Kerajaan bertekad perangi rasuah bola sepak
Pihak yang mempunyai maklumat mengenai jenayah rasuah boleh memaklumkan kepada Zahid dan Bukit Aman.
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak dalam memerangi gejala rasuah bola sepak di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak yang mempunyai maklumat mengenai jenayah terbabit boleh memaklumkan terus kepadanya dan Bukit Aman bagi siasatan lanjut.
“Secara peribadi, saya selaku menteri (Kementerian Dalam Negeri) akan memantau gejala itu.
“Kita menerima laporan ada pemain menjual permainan. Tapi, itu musim lalu dan musim ini kita tak akan berkompromi lagi,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi saingan Liga Malaysia Musim 2016, di sini hari ini.
Zahid berkata, pihaknya mengetahui terdapat ‘bookies’ yang memerhati prestasi pasukan dan menghubungi pemain untuk merasuah mereka.
Katanya, beliau mengetahui perkara itu kerana ada dalam kalangan Presiden Bola Sepak yang memaklumkan padanya sendiri.
Sehubungan itu, Zahid menegaskan beliau akan memastikan pemain dan jurulatih bersih daripada gejala dan amalan rasuah itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Zahid berkata, beliau juga tidak mahu sukan bola sepak dikotorkan dengan kegiatan rasuah.