Ketepi perbezaan politik demi negara – Gerakan
Sekiranya rakyat berbalah antara satu sama lain, ia akan menyebabkan pelabur dan pelancong takut datang ke negara ini.
KUALA LUMPUR : Parti Gerakan menggesa orang ramai mengenepikan perbezaan politik masing-masing demi kesejahteraan negara.
Presidennya Datuk Mah Siew Keong berkata, perbalahan politik di antara satu sama lain akan hanya menyebabkan pelabur dan pelancong takut datang ke negara ini sekaligus membantutkan lagi ekonomi.
“Kita perlu mengenepikan perbezaan politik masing-masing. Kita perlukan lebih perdagangan, kita mahu lebih banyak pelaburan di negara ini.
“Jika kita terus berbalah antara satu sama lain ia tidak baik untuk pembangunan. Khususnya dengan adanya akses internet, kita menulis yang bukan-bukan, pelabur dan pelancong pun takut datang ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran parti itu di Ibu Pejabat Gerakan hari ini.
Siew Keong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga menambah, kerajaan juga perlu berusaha keras mengatasi masalah sosial, pendidikan dan kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.
“Saya rasa kita perlu bekerja keras kerana tahun ini amat mencabar
“Kita juga ahli politik sering bercakap pasal politik tapi bila saya turun padang, semua orang cakap pasal kos sara hidup.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Isu ini amat mencabar terutamanya di bandar,” tegasnya lagi.