Polis kesan mangsa video pukul Papagomo
Apa yang dilakukan oleh Papagomo itu bertentangan dengan undang-undang.
KUALA LUMPUR : Polis sedang mengesan warga asing yang menjadi mangsa pukul seorang blogger untuk siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki dalam video berkenaan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai `Papagomo’ telah bertindak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang.
“Tiada sesiapa yang boleh mendahulukan undang-undang.
“Kita ada undang-undang bukan sahaja kes terhadap pekerja asing, terhadap binatang pun tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kursus ‘Training of Trainers Bahaya Militan Islamic State’ di Saloma Bistro di sini, hari ini.
Khalid menambah, Papagomo seharusnya membuat laporan polis berhubung dakwaannya bahawa terdapat lelaki yang menganggu dua adik perempuannya dan dua rakan mereka yang lain sebelum mengambil tindakan sendiri.
“Dia sepatutnya membuat laporan polis. Kemudian kita akan menyiasat sama ada benar ada serangan seksual.
“ Sebab itu kita ada undang-undang. Kalau negara tidak ada undang-undang dah lama kecoh perkara ini,” tegasnya.
Baru-baru ini, satu rakaman video yang menjadi viral menunjukkan Papagomo menampar, menolak dan menendang lelaki yang dipercayai warga Pakistan selepas dituduh mengganggu dua adik perempuannya dan dua rakan mereka yang lain.
Kejadian dilapor berlaku pada 29 Januari lepas.
Video itu tersebar luas di media sosial dan memperolehi lebih daripada 50,000 yang menyukainya dan lebih sejuta tontonan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di sebalik serangan itu, ramai pengguna Facebook memuji Papagomo kerana melindungi adik perempuannya.