DBKL larang syarikat utiliti turap jalan
Larangan dibuat kerana kaedah penurapan jalan tidak sempurna dilakukan syarikat utiliti yang bertanggungjawab mengorek lubang.
PETALING JAYA: Tidak tahan dengan kualiti teruk penurapan jalan selepas dikorek, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan untuk membuat kerja menurap jalan yang mereka korek.
Sebaliknya, kerja penurapan itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh DBKL dengan kos turapannya akan ditanggung oleh syarikat utiliti terbabit.
Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, Sabudin Mohd Salleh, berkata untuk tujuan turapan sahaja, DBKL telah melantik 24 kontraktor untuk melakukan kerja berkenaan di ibu negara.
Katanya, keputusan diambil selepas pihaknya mendapati faktor utama yang menyebabkan masalah jalan berlubang ialah kaedah penurapan jalan tidak sempurna yang dilakukan syarikat utiliti yang bertanggungjawab mengorek lubang selain pembangunan berterusan yang sentiasa berlaku di sekitar ibu kota.
Beliau berkata, DBKL menyedari banyak berlaku masalah jalan berlubang, mendap, tampalan tidak
sempurna dan retak sehingga mengundang banyak masalah lain seperti menjadi punca kepada kemalangan.
“Sehubungan itu, DBKL sentiasa sedang memantau setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di bandar raya ini demi memastikan setiap jalan, laluan pejalan kaki terutama yang terletak berhampiran tapak projek berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
“Sekiranya keadaan adalah sebaliknya, DBKL akan menarik balik permit kelulusan pembangunan atau tidak meluluskan sijil kelayakan kepada pemaju,” kata Sabudin, seperti yang dipetik daripada BERNAMA, hari ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak pemaju membaiki jalan yang rosak berhampiran tapak projek mereka yang disebabkan kekerapan lori bermuatan tinggi keluar-masuk di jalan utama sedia ada sehingga jalan menjadi berlekok, berlopak dan seterusnya berlubang.