Mufti Perlis sahut debat dengan Zamihan
Dr Asri hadir untuk mengelakkan kegusaran semua pihak yang dituduh dan dicerca tanpa alasan yang kukuh.
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin bersetuju untuk berdebat dengan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin yang dianjurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Katanya, jawapan segera itu dibuat bagi mengelak, sekali gus menyelesaikan kegusaran serta tuduhan yang tidak berasas dibuat pihak tertentu berhubung kemelut melibatkan beliau dengan Zamihan.
“Walaupun perbincangan hanya antara pihak DS (Shahidan) dengan beliau dan saya hanya dapat pagi ini keputusan terperinci tersebut, namun in sha Allah (insya Allah) saya cuba hadir.
“Saya akan cuba adjust (ubahsuai) jadual saya. Saya bukan hadir untuk diri saya, tetapi untuk mengelakkan kegusaran semua pihak yang dituduh dan dicerca tanpa alasan yang kukuh.
“Kita memerlukan pendekatan agama yang sederhana dan rasional dalam menghadapi dunia yang makin mencabar,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Jelasnya, Mufti Perlis itu akan cuba meluangkan masa untuk hadir pada debat itu bagi membahaskan isu ektremisme di Malaysia.
“Tajuk kita bukan soal furu fekah, tetapi Ektremism di Malaysia: Satu Diskusi. Saya alhamdulillah dengan rendah diri bersetuju hadir in sha Allah,” katanya.
Terdahulu, Shahidan menerusi kenyatan Facebooknya sebagai berkata, Zamihan setuju untuk berdebat pada 17 Feb ini di Putrajaya dan setiap pendebat boleh menjemput 50 peserta setiap seorang pada majlis tersebut.
“Diskusi ini akan membuka ruang kepada umat Islam dan pihak lain untuk memahami Islam dengan lebih dekat. Saya harap tiada mana-mana pihak yang cuba menghentikan wacana ini,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Semalam, Zamihan menyatakan mahu berdebat dengan Mufti Perlis secara tertutup.