NC UM jangan berlagak diktator- Steven Sim
Universiti sepatutnya mengutamakan usaha untuk meningkatkan prestasi serta kualiti akademik berbanding mengenakan tindakan tatatertib kepada mahasiswa yang bersuara.
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) digesa supaya berhenti menyekat suara mahasiswa yang mengkritik pentadbiran universiti.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata demikian mengulas isu laporan berita enam mahasiswa UM bakal dihadapkan ke prosiding tatatertib kerana mengetengah isu kuota internet di universiti berkenaan.
Katanya, universiti sepatutnya mengutamakan usaha untuk meningkatkan prestasi serta kualiti akademik berbanding mengenakan tindakan tatatertib kepada mahasiswa yang bersuara.
“Naib Canselor dan pentadbir universiti yang sepatutnya dihadapkan ke prosiding tatatertib kerana telah gagal memenuhi amanah mereka terhadap anak-anak kita.
“Universiti kita patut memberi fokus untuk menaikkan mutu akademik, bukan menutup mulut mahasiswa dan membantutkan pemikiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau mendesak pihak UM menarik balik notis tatatertib terhadap enam mahasiswa UM tersebut.
“Jika mahasiswa tidak dibenarkan bersuara dan berfikir secara kritis termasuk terhadap pentadbir universiti, maka universiti kita menjadi sekadar kilang mengeluarkan robot.
“Naib Canselor dan badan pentadbir Universiti Malaya selaku universiti tertua di Malaysia tidak patut memalukan nama universiti dan alumni dengan membuang masa cuba menutup mulut mahasiswa.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Jangan berlagak seperti diktator ataupun lebih teruk lagi sebagai pentadbir tadika di mana setiap gerak-geri pelajar perlu mendapat kebenaran mereka,” katanya.