Nelayan selamatkan ikan paus terdampar
Ikan paus itu berenang ke bahagian laut lebih dalam kira-kira 2.6 batu nautika dari perairan Pontian dengan diawasi Pasukan Polis Marin Wilayah Dua.
PETALING JAYA: Jika pada minggu lepas seekor Harimau Belang dilanggar mati, minggu ini seekor ikan paus diselamatkan daripada terdampar di tepi laut.
Ikan paus yang ditemui di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah di Pontian diselamatkan oleh seorang nelayan, Ismail Sirat, 47, dengan bantuan beberapa orang.
“Kami menolak dan menarik ikan sepanjang 20 meter tersebut bermula 2.30 petang. Berlaku kesukaran kerana ikan dianggar seberat empat tan itu berpatah balik ke bahagian cetek apabila kami sudah menolak dan menariknya ke bahagian
dalam,” katanya yang ditemui di Jeti Nelayan Sungai Rambah, lapor Bernama.
Ismail bersama abangnya, Hamid Sirat, 59, dan seorang rakan menarik ikan itu menggunakan sebuah bot berserta satu enjin sangkut berkuasa 115 kuasa kuda manakala sembilan individu lain termasuk dua anggota bomba menolak haiwan tersebut dengan tangan dari tepi pantai.
“Selepas 5.30 petang, barulah ikan itu berjaya ditarik sehingga ke bahagian laut dalam di kawasan perairan Pontian, iaitu kira-kira 1 batu nautika dari Pantai Rambah,” katanya lagi.
Ikan paus itu berenang ke bahagian laut lebih dalam kira-kira 2.6 batu nautika dari perairan Pontian dengan diawasi Pasukan Polis Marin Wilayah Dua.
Ismail berkata dia berasa bangga dan menganggap tindakan pantas terbabit merupakan sesuatu yang tepat bagi mengelakkan ikan terbabit mati.
Kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku sejak Ismail menjadi nelayan selama 30 tahun.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ikan paus itu digelar ‘Si Corner’ kerana asyik menghala ke arah lain dan membelok berpatah balik ke bahagian cetek ketika cuba ditarik ke laut dalam.