Sampai bila mahu kawal pemahaman umat Islam?
Kawalan dibimbangi akan mengenepikan budaya berfikir dan mengecilkan skop agama kepada tatacara upacara keagamaan semata.
GOMBAK: Sampai bila pihak berkuasa agama mahu mengawal pemahaman umat Islam Malaysia terhadap agama mereka sendiri, soal pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) melarang sejumlah 16 penceramah bebas, termasuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, daripada memberikan ceramah di negeri itu.
Menurut Maszlee, umat Islam di negara ini sudah terlalu lama dipaksa mengikut pemahaman agama yang dipegang pihak berkuasa hingga menyebabkan hilangnya kepelbagaian tradisi keilmuan Islam yang terhasil daripada wacana.
“Ia mencetuskan sisi pandang yang sempit tentang Islam,” kata Maszlee dalam wawancara bersama FMT, “dan lebih malang apabila skop agama dikecilkan kepada ritual semata-mata. Walhal ia terbuka kepada banyak pendapat, sebab itu ada banyak mazhab.”
Dalam syor yang dikeluarkan oleh MAIJ itu, Mohd Asri didakwa mengelirukan umat Islam selain tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Maszlee menegaskan MAIJ sepatutnya memberi peluang kepada 16 penceramah itu memberi penjelasan terlebih dahulu.
“Apa pun perbezaan pandangan perlu diselesaikan dengan dialog. Pada masa sama ia dapat mendidik masyarakat untuk lebih berfikir.
“Saya risau apabila pengamalan agama tidak disertai dengan budaya untuk berfikir dan menerima kepelbagaian. Akhirnya Islam sendiri dipandang jelek oleh golongan lain,” katanya lagi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilihat mengambil langkah sama apabila mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan keatas kariah masjid dan surau jika menjemput penceramah tanpa kebenaran JAIPk.