Kes Deepa: Tidak semua sambut baik keputusan mahkamah
“Ia menjadi keliru jika kes akan datang berlaku apabila mempunyai tiga orang anak. Tak kan nak bagi seorang satu setengah anak…”
PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan keatas isu penjagaan anak S Deepa dan Izwan Abdullah mengundang pelbagai reaksi.
Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk RS Mohan Shah khuatir ia boleh mengundang kekeliruan di masa hadapan, lebih-lebih lagi apabila Mahkamah Tinggi sebelum ini menyerahkan hak penjagaan anak pasangan itu kepada si ibu.
“Ia menjadi keliru jika kes akan datang berlaku apabila mempunyai tiga orang anak. Macam mana mahkamah nak tentukan. Tak kan nak bagi seorang satu setengah anak,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berharap mahkamah memberikan keputusan yang lebih tegas agar kes di masa hadapan dapat ditangani secara lebih jelas.
“Kita nak undang-undang itu mesti beri hak asasi yang berperikemanusiaan agar dapat selesaikan perkara ini (masalah penjagaan anak),” tambahnya.
Sementara itu, Peguam Azhar Harun (Art Harun) memuji keputusan panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif itu yang menetapkan soal penjagaan anak apabila si ibu atau bapa memeluk agama Islam terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil secara mutlak.
Di mahkamah hari ini, Hakim Raus berkata mahkamah tertinggi di Malaysia itu mempunyai bidang kuasa ekslusif di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) untuk mendengar kes penjagaan anak walaupun salah seorang daripada pasangan memeluk agama Islam.
Tegasnya lagi, kes ini melibatkan perkahwinan sivil, maka Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan pembatalan perkahwinan sivil dan memutuskan hak penjagaan.
“Tahniah kepada Mahkamah Persekutuan kerana memulihkan kewarasan dalam isu ini,” kata Art, dalam muatnaik di Facebook.
Beliau menekankan bahawa keputusan Hakim Raus itu menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Indira Gandhi sebelum ini, yang menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menetapkan bahawa Mahkamah Syariah yang harus menentukan status penjagaan anak terbabit.
Selain menetapkan keutamaan bidang kuasa, Hakim Raus turut memutuskan hak penjagaan si anak lelaki diberi kepada Izwan Abdullah manakala si anak perempuan diserahkan kepada S Deepa, selepas mendengar sendiri kemahuan kedua anak itu.
Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Muhamad berpandangan keputusan hari ini menunjukkan bahawa Mahkamah Persekutuan mahu mendahulukan kemahuan si anak.
“Keputusan yang dibuat itu dilihat berdasarkan pentafsiran dan kepentingan anak itu. Sekiranya anak itu selesa tinggal dengan ibunya maka mahkamah akan beri kepada ibunya, begitu juga sebaliknya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kepentingan anak itu bukan dilihat dalam bentuk fizikal sahaja tetapi agamanya kerana anak yang di bawah umur belum pandai memilih agamanya lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.