Naik harga jika levi naik, KIMMA dikecam
Rakyat makin tersepit tapi Kongres India Muslim Malaysia terus beralasan, kata Amir Amsaa
PETALING JAYA: Meskipun pengusaha restoran India Muslim antara majikan utama pekerja asing, itu bukan alasan untuk menaikkan harga makanan apabila levi dinaikkan, tegas Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRRIM).
Tanpa memperincikan kaedah keuntungan yang digunapakai pengusaha restoran terbabit, Presidennya, Amir Amsaa Alla Pitchay menggesa Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) supaya memilih mendahulukan rakyat yang tertekan.
“Alasan untuk menaikkan harga makanan itu tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat ketika ini dalam kesusahan ekoran pelbagai tekanan hidup,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengecam kenyataan Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang mendakwa pengusaha restoran India Muslim tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga kerana kenaikan kadar levi untuk pekerja asing menambah kos yang ditanggung mereka.
“Jika KIMMA gagal membela nasib rakyat tempatan mereka boleh bubar sahaja parti itu, dan presidennya juga perlu meletak jawatan dan memberi peluang kepada orang lain untuk menerajui parti,” kata Amir Amsaa.
Beliau berkata pendirian KIMMA itu menghairankan, sekalipun jika campurtangan bagi pihak pekerja asing kerana mereka sudah mempunyai persatuan masing-masing.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“KIMMA dilihat lebih mengutamakan pekerja asing apabila membantah tindakan kerajaan menaikkan kadar levi kepada pekerja asing, berbanding membela nasib rakyat tempatan yang dalam kesusahan,” katanya.