Baling mikrofon, Mat Sabu bersandiwara
Tindakan membaling mikrofon itu sebagai menarik perhatian dan simpati daripada orang ramai
PETALING JAYA: Tindakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu melemparkan mikrofon selepas berucap pada Himpunan 365#BebasAnwar#BebasRakyat di Penjara Sungai Buloh pada Selasa lalu adalah satu sandiwara.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairuddin Ihsan Wan Muhammad berkata, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkelakuan demikian hanya untuk menarik perhatian dan simpati orang ramai berhubung program berkenaan yang dikatakan tidak mendapat sambutan.
“Saya senyum dan tergelak seorang diri. Saya amat yakin dari pengalaman sebagai bekas Ketua AMK Kelantan dan juga Unit Strategi PKR satu ketika dulu, ini semua adalah sandiwara yang telah ditulis skripnya.
“Beliau juga menuduh Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) lebih mesra PAS berbanding PAN yang didakwanya pejuang kepada Anwar seawal bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat, tidak seperti PAS yang kini telah lari dari pakatan (Pakatan Harapan),” tulisnya menerusi blog bicaramindawank.blogspot.my.
Menurut Wan Khairuddin yang juga EXCO AMK Pusat, pembangkang akan menggunakan apa sahaja strategi untuk menarik perhatian orang ramai sekiranya program mereka tidak mendapat sambutan.
Dia mendakwa, dalam kes kempen bebaskan Anwar ini, hanya segelintir sahaja yang hadir dan bagi mengelak dari berasa malu, Mat Sabu cuba membaling mikrofon dengan harapan kejadian itu dijadikan viral dalam laman sosial.
“Untuk pengetahuan umum, walau apa pun sandiwaranya, hidup mati Azmin adalah bersama Anwar. Azmin tidak hadir dalam program di Penjara Sungai Buluh kerana beliau di Mekah menunaikan ibadah Umrah,” ujarnya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram