Novel kontroversi ‘Pantai Kasih’ terus digunakan di sekolah
Keputusan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan Jawatankuasa Kaji Semula yang dianggotai pakar pelbagai bidang.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan akan terus menggunakan novel Pantai Kasih yang sebelum ini dikatakan mengandungi unsur lucah untuk pembelajaran KOMSAS (komponen sastera).
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Khairil Awang berkata, keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Kaji Semula yang telah ditubuhkan.
“KPM telah menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai pelbagai kaum dan agama, yang terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, agama, psikologi dan kaunseling serta antropologi. Panel juga NGO-NGO dan pensyarah media.
“Perbincangan panel memutuskan novel ini mempunyai elemen kebolehajaran dari aspek keindahan bahasa, kosa kata dan tatabahasa. Ia juga dapat merangsang murid untuk berfikir secara matang dan rasional dalam membuat justifikasi.
“Ahli mesyuarat sebulat suara memutuskan novel Pantai Kasih edisi murid karya Azmah Nordin akan terus digunakan oleh pelajar Tingkatan Empat bagi zon tiga yang melibatkan Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Novel yang mengisahkan kehidupan doktor dan jururawat itu mendapat perhatian ramai apabila beberapa petikannya yang didakwa berunsur lucah tersebar di media sosial.
Dalam perkembangan sama, Khairil memaklumkan novel berkenaan mula digunakan pada tahun lepas dengan tidak timbul sebarang isu sebelum itu.
“Novel edisi pelajar ini juga berbeza dengan edisi bacaan umum. Ada jawatankuasa yang telah melihat dan menyaring (kandungan) mengikut kesesuaian untuk pelajar tingkatan empat,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap masyarakat menilai novel berkenaan secara keseluruhan dengan tidak membuat justifikasi melalui beberapa petikan tertentu sahaja.
“Jangan tengok petikan (tertentu sahaja). Kalau baca secara keseluruhan, ia menggambarkan ketabahan wanita dan etika,” ujarnya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram