Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bekas pegawai khas Khalid Ibrahim dipenjara, disebat

 | March 4, 2016

Mahkamah Rayuan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

Mohd Yahya Mat Sahri,PUTRAJAYA: Bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Rayuan atas dakwaan menipu.

Mahkamah Rayuan juga mengenakan hukuman dua sebatan rotan kepada Mohd Yahya Mat Sahri selepas dia gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu.

Panel tiga anggota Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menolak rayuan Mohd Yahya berkaitan sabitan kesalahannya, hukuman penjara dan sebatan bagi pertuduhan pertama menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Abdul Karim Munisar.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Abdul Karim dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa sekretariat Pakatan Rakyat sedang mencari penaja bagi sambutan 100 hari pakatan itu memerintah dan dengan curangnya mendorong beliau untuk memberi kepadanya RM50,000 sebagai sumbangan, di Gardenia Coffee House Hotel Quality di Shah Alam pada 4 Jun 2008.

Bagaimanapun, panel itu menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Mohd Yahya atas pertuduhan kedua menggunakan dokumen palsu iaitu ‘Resolusi Pembukaan Akaun bagi Parti Keadilan Rakyat Selangor”, sebagai tulen di sebuah bank di Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Keputusan sebulat suara panel hakim itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Rahman Sebli. Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Harmindar Singh Dhaliwal.

Dalam keputusannya, Abdul Rahman berkata, Mahkamah Tinggi adalah betul dalam keputusannya bahawa elemen penipuan diwujudkan dan ia (Mahkamah Tinggi) bertindak betul dalam keputusannya bahawa Mohd Yahya bersalah bagi pertuduhan pertama.

Beliau berkata, Mohd Yahya tahu bahawa sambutan itu ditaja oleh Kerajaan Selangor dan bukan oleh PKR dan dia menyembunyikan maklumat itu daripada Abdul Karim.

Hakim Abdul Aziz memerintahkan Mohd Yahya supaya memulakan hukuman penjaranya hari ini. Mohd Yahya diikat jamin RM15,000 sementara menunggu rayuannya itu diselesaikan.

Di dalam kandang tertuduh, Mohd Yahya, 47, yang memakai sut hitam, kelihatan terkejut selepas mendengar keputusan mahkamah.

Pada 27 Jun 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskannya daripada pertuduhan pertama dan mensabit kesalahan serta menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan rotan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Okt 2013 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu.

Mohd Yahya diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan Aida Adhha Abd Bakar mewakili pendakwaan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments