Lagi serpihan ditemui di pulau La Reunion dipercayai milik MH370

Lagi serpihan ditemui di pulau La Reunion dipercayai milik MH370

Begue juga merupakan orang yang sama menemui "Flaperon", iaitu serpihan sayap pesawat daripada pesawat yang hilang itu, semasa membersihkan pantai pada Julai tahun lepas.

MH370

PETALING JAYA:
Sehari sebelum ulangtahun kedua insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, satu lagi serpihan kapal terbang itu ditemui.

Serpihan kedua itu ditemui di pulau La Reunion, milik Perancis yang terletak di Lautan Hindi pada Khamis lalu dipercayai kemungkinan milik MH370.

Menurut Bernama, AFP melaporkan berita itu pada Ahad bahawa serpihan itu ditemui oleh Johnny Begue ketika dia keluar berjoging di tepi pantai.

Menurut agensi berita itu lagi, Begue juga merupakan orang yang sama menemui “Flaperon”, iaitu serpihan sayap pesawat daripada pesawat yang hilang itu, semasa membersihkan pantai pada Julai tahun lepas.

Begue berkata serpihan ini sama ringan dengan binaan sarang lebah madu sama seperti serpihan flaperon dan panjangnya kira-kira satu meter, demikian dilaporkan AFP.

Flaperon yang dijumpainya kekal satu-satunya serpihan dikenal pasti dengan kepastian daripada pesawat itu, kata AFP.

Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Esok menandakan tempoh dua tahun kehilangan misteri pesawat itu meskipun usaha pencarian besar-besaran dilakukan di dasar laut di selatan Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia, Malaysia dan China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.