16 ditangkap, enam lagi tonto diburu
Ops Cantas Khas Tonto diadakan untuk memerangi dan melumpuhkan jenayah sindiket tonto yang mengancam keselamatan awam.
PUTRAJAYA: Seramai 16 orang dalang dan ketua sindiket terancang tonto telah berjaya diberkas polis menerusi Ops Cantas Khas Tonto yang dijalankan sejak 26 April.
Kejayaan itu merupakan hasil perancangan dan risikan selama tiga bulan oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Kongsi Gelap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihak berkuasa turut menyita sebanyak 13 buah kenderaan tonto dalam operasi tersebut.
“Kesemua mereka yang ditahan akan diambil tindakan dan didakwa dibawah Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya dalam satu sidang media di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan.
Mengulas lanjut, Liow berkata operasi khas ini diadakan untuk memerangi dan melumpuhkan jenayah sindiket tonto yang mengancam keselamatan awam.
“Sindiket tonto ini melindungi dan memberi maklumat kepada pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya.
“Selain itu, operasi ini juga dilakukan bagi membanteras kesalahan jenayah yang memberi ancaman nyawa anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas penguatkuasaan serta mengakibatkan kerosakan harta benda awam,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan pemantauan dibuat, 2,000 buah lori di sekitar Lembah Klang didapati melakukan kesalahan seperti membawa lebih muatan, tidak memiliki cukai jalan yang sah.
“Mereka ini dilindungi tonto. Daripada jumlah tersebut dianggarkan kerugian sebanyak RM12 juta setahun bagi ketirisan hasil cukai negara.
“Manakala, Jabatan Kerja Raya menganggarkan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi membaik pulih kerosakan jalan raya bagi kenderaan yang membawa lebih muatan adalah sebanyak RM100 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata polis sedang memburu enam lagi tonto yang merupakan dalang terbesar sindiket ini.
Enam individu yang didedahkan kepada media itu ialah Sawaran Singh Pram Singh @ Sona, Samson Jacob David @ Panjang N9, Arul Amuthu Mohan @ Panjang, Tan Poh Lat @ Gemuk Susu, Chen Kim Loong @ Ah Peng dan Harithas Munusamy @ Ary.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Polis akan memastikan keenam-enam dalang ini ditangkap dan diberkas dengan segera. Kita perlu selesaikan sindiket tonto ini hingga ke akar umbi. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana,” katanya.