517 polis diterbangkan ke Sarawak mengundi
Menurut Jalaluddin, anggota polis itu akan dibawa pulang menerusi penerbangan khas bermula hari ini
KUCHING: Seramai 517 anggota polis akan diterbangkan ke Sarawak secara berperingkat-peringkat, bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ia akan dilakukan menggunakan penerbangan khas, bermula hari ini.
“Seramai 46 anggota dijangka tiba di sini hari ini, manakala bakinya akan dibawa pulang secara berperingkat-peringkat sehingga Jumaat ini.
“Mereka akan membuang undi sebagai pengundi biasa di daerah masing-masing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
Sebanyak 79 pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi tadi untuk membolehkan 24,604 pengundi awal yang terdiri daripada anggota keselamatan dan pasangan mereka membuang undi.
Seramai 1,138,650 pengundi layak membuang undi pada PRN Sarawak kali ini, termasuk 1,113,522 pengundi biasa dan 106 pemilih tidak hadir luar negara (pengundi pos) bagi 82 kawasan DUN.
Jalaluddin menjangkakan 95% anggota polis akan membuang undi pada PRN kali ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram