Jangan jual undi demi wang sogokan
Najib berkata, masa depan pengundi lebih bernilai berbanding wang ringgit yang cuba disogokkan pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka
SRI AMAN: Datuk Seri Najib Razak menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak menjual undi mereka semata-mata untuk mendapatkan wang sogokan.
Perdana Menteri berkata, masa depan pengundi lebih bernilai berbanding wang ringgit yang cuba disogokkan pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka.
“Mereka perlu mengutamakan masa depan mereka semasa pilihan raya ini dan bukannya menggunakan hak mereka untuk mendapat duit secara cepat,” katanya ketika berucap di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa di Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban di Undop, kira-kira 40 kilometer dari sini, hari ini.
Sebelum itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis mendakwa menerima maklumat ada cubaan pihak tertentu menyogok pengundi di kawasannya agar tidak mengundi BN.
Beliau mendakwa pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah ditawarkan RM100 setiap seorang untuk berbuat demikian dan akan ditambah RM200 lagi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Sementara itu, Najib yakin pengundi Iban di DUN Simanggang bijak membuat pilihan dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.
“Orang Iban orang pahlawan. Orang yang ada semangat tinggi. Jadi kita jangan jual maruah kita. Lebih penting (jangan gadai) masa depan kita,” katanya.
Menurutnya, BN bukan hanya berjuang untuk memastikan kesejahteraan generasi sekarang tetapi juga untuk merancang masa depan cemerlang buat generasi baru.
Perdana Menteri yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat yang juga Ahli Parlimen Sri Aman turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk beberapa projek bagi penduduk Rumah Jegai dalam majlis itu.
Francis Harden selaku penyandang akan ditentang calon DAP, Leon Jimat Donald, Norina Umoi Utot (PKR) dan calon Bebas, Ngu Piew Seng pada Sabtu ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
– BERNAMA