Nenek Abdul Aziz tidak suka cucu jadi calon DAP
Bapa Abdul Aziz menyokong keputusan anaknya bertanding atas tiket DAP di kerusi Batu Kitang.
KUCHING: Nenek Abdul Aziz Isa tidak suka cucunya bertanding atas tiket pembangkang di kerusi Batu Kitang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, Sabtu ini.
Mazuyin Abd Manan, 75, yang telah aktif dalam politik Sarawak sejak berdekad lalu berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan cucunya mewakili DAP di kerusi Batu Kitang.
“Saya tidak suka cucu saya cabar BN dan ini sebabnya saya berada di sini untuk menyokong calon BN di Batu Kitang, Lo Khere Chiang. Jangan undi Abdul Aziz, saya tak suka.
“Beliau masih muda dan belum mula bekerja, tetapi tiba-tiba mahu menentang kerajaan,” katanya kepada wartawan di Batu Kitang.
Ditanya pendapatnya jika Abdul Aziz menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) satu hari nanti, ini jawapannya.
“Saya tidak mahu beliau dalam PBB. Saya sudah beritahu semua orang jika satu hari nanti beliau sertai PBB, mereka tidak patut terimanya,” katanya.
Bapa Abdul Aziz, Marindo Tahar ketika dihubungi FMT berkata, beliau tahu ibunya tidak setuju dengan tindakan anaknya itu.
Bagaimanapun, jelasnya, beliau telah membentuk anaknya sejak kecil lagi untuk menyertai politik dan apa yang beliau utamakan adalah niat Abdul Aziz berkhidmat kepada rakyat.
“Saya ada rancangan sendiri untuk anak saya dan saya menyokong hasratnya, di mana beliau boleh bersuara demi kebaikan orang Sarawak.
“Pihak ibu saya, mereka semuanya penyokong kuat dan ahli PBB,” katanya sambil menambah, bantahan ibunya tidak akan menjejaskan Abdul Aziz yang berazam menjadi suara buat semua rakyat Sarawak.
Marindo turut kecewa dengan taktik kotor yang digunakan BN Sarawak dengan melaga-lagakan Abdul Aziz dan ibunya bagi mencapai kemenangan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Mereka cuba memecahbelahkan sebuah keluarga. Hakikatnya, saya sendiri tidak pernah cuba menghalang Abdul Aziz menyertai DAP. Saya tahu beliau boleh jadi seorang penyemak dan pengimbang yang baik yang tidak akan membiarkan BN terus melakukan apa mereka mahu,” katanya.