Pelaburan infrastruktur Malaysia kedua terbaik di Asia
Pelaburan tersebut turut diancam oleh beberapa risiko jangka pendek, termasuk susut nilai mata wang berbanding dolar dan skandal rasuah yang telah menangguhkan beberapa projek.
Indeks Pelaburan Infrastruktur Global edisi tiga oleh Arcadis, sebuah firma reka bentuk dan perundingan global menyatakan, prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh dan berterusan serta pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur telah membuatkan Malaysia sebagai pasaran menarik bagi pelaburan swasta dan dalaman.
Rancangan Malaysia ke-11 yang diterbitkan kerajaan pada Mei 2015, menekankan kepentingan infrastruktur untuk mencapai transformasi bagi Malaysia menjadi sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020, lapor New Straits Times Online.
Pelan ini menggariskan tumpuan berterusan kepada pengukuhan infrastruktur bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong perkembangan ekonomi.
Projek-projek utama yang dijangka siap pada 2020 termasuk MRT Line Lembah Klang, Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pantai Barat.
“Projek-projek yang telah siap pula termasuk jalan raya baharu melibatkan jauh 93,000km, peningkatan rangkaian jalan raya sebanyak 68 peratus, manakala pelaburan rel bandar sebanyak 32 peratus,” petik laporan itu.
Turut didedahkan cabaran utama yang dihadapi oleh Malaysia dalam mencapai matlamat 2020 adalah untuk memastikan bahawa kualiti dan kemampanan infrastruktur baharu tidak terjejas.
Manakala, pelaburan tersebut turut diancam oleh beberapa risiko jangka pendek, termasuk susut nilai mata wang berbanding dolar dan skandal rasuah yang telah menangguhkan beberapa projek.
Singapura dilapor mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran terbaik di dunia untuk pelaburan infrastruktur disokong dengan keadaan yang stabil yang politik, persekitaran perniagaan yang selamat dan potensi pertumbuhan yang kukuh.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Sebagai perbandingan, dari segi skor ekonomi, China berada di kedudukan pertama daripada 41 negara yang dianalisis, namun keadaan perniagaan yang kurang menarik dan persekitaran berisiko tinggi menolaknya di kedudukan 17 dalam indeks.