Cabar saya di mahkamah, kata KPN kepada Surendran
Surendran boleh menggunakan saluran undang-undang sekiranya tidak berpuas hati polis pengiring Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik.
PETALING JAYA: Aktivis PKR, N Surendran boleh menggunakan saluran undang-undang sekiranya tidak berpuas hati polis pengiring bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Serain itu berkata penarikan itu “tidak sopan, tidak munasabah dan menyalahi undang-undang”.
Menjawab kenyataan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata wakil rakyat PKR itu boleh mencabar keputusan itu di mahkamah.
Khalid memberitahu FMT bahawa Malaysia sebuah negara yang bebas dan meskipun Surendran berhak menyatakan pendapat, dakwaan bahawa polis berpihak dalam politik adalah tidak betul.
“Keputusan saya adalah polis pengiring tidak boleh digunakan untuk acara dan majlis yang dilihat tidak sah,” katanya, dan menambah ia termasuklah perhimpunan yang tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa.
Khalid menjelaskan kehadiran polis pengiring akan dinilai dan ditentukan secara kes-dengan-kes. Namun begitu, polis tidak akan berkompromi dengan keselamatan Mahathir.
Surendran sebelum ini dilaporkan sebagai berkata Mahathir berhak bergerak kemana sahaja yang diingini, maka ia bukan urusan KPN.
Menurut beliau, polis pengiring disediakan memandangkan kedudukan Mahathir sebagai bekas perdana menteri dan untuk keselamatannya.
Sebelum ini, Khalid mengumumkan Mahathir tidak lagi akan diiring polis pengiring untuk acara-acara yang dilihat tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram