Kenyataan KFA putar belit – Aliff Syukri
Aliff akan mengadakan sidang media Jumaat ini bagi menjawab isu penolakan tajaan RM30 juta.
PETALING JAYA: Pengasas D’Herbs Healthy Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman keliru dengan tindak-tanduk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sekitar penolakan tawaran penajaan RM30 juta.
Aliff, yang terkenal dengan slogan iklan ‘abang terlajak laris’ memberitahu FMT bahawa KFA memaklumkan akan ada perbincangan antara dua pihak mengenai penajaan bola sepak Kedah tetapi sebaliknya yang berlaku.
Aliff sebelum ini percaya dua pihak itu melibatkan KFA dan D’Herbs.
“Mereka (KFA) suruh tangguhkan (tajaan) tapi mereka buat sidang media (menolak tawaran tajaan). Mengapa kata ada perbincangan antara dua pihak (kalau bukan dengan D’Herbs)? Jadi siapakah dua pihak yang terlibat (dalam perbincangan) itu?,” soalnya.
Sebelum ini, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, keputusan persatuan itu adalah muktamad dan pihaknya juga tidak bercadang untuk membuat rundingan lagi.
“Setelah meneliti draf perjanjian terakhir pada 27 April lalu, KFA membuat keputusan untuk tidak meneruskan dengan tawaran penajaan tersebut. Ini adalah muktamad,” lapor Utusan Malaysia.
Ujar Aminuddin, draf perjanjian yang di luar bidang kuasa KFA menjadi punca persatuan itu tidak dapat menerima tawaran jutawan kosmetik tersebut.
Beliau menambah KFA masih boleh menguruskan pasukannya dengan baik tanpa tajaan itu.
Ditanya lebih lanjut, Aliff memaklumkan akan mengadakan sidang media Jumaat ini bagi menjawab perkembangan itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Tunggu sidang media saya. Kenyataan yang mereka (KFA) keluarkan adalah putar belit,” katanya.