Roneey: Kerajaan berhak, tapi jelaskan perubahan dasar – Peguam muslim
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpendapat kerajaan berhak membuat untuk keputusan menarik balik rayuan JPN tetapi haruslah dibuat secara adil.
PETALING JAYA: Putrajaya perlu menjelaskan mengapa rayuan keatas keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tukar agama Roneey Rebit bertukar arah secara tiba-tiba, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar.
Mengulas dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mencampuri urusan rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zainul berkata kerajaan sebenarnya berhak membuat keputusan untuk menarik balik rayuan itu.
Bagaimanapun, Zainul berpendapat ia haruslah dilakukan secara adil kerana keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi dilihat terlaksana.
“Jika ia dilakukan untuk pilihan raya, maka persepsinya adalah keadilan tidak terlaksana,” katanya kepada FMT.
Beliau berpendapat kerajaan pertama-tamanya tidak patut merayu, manakala menarik balik rayuan itu menandakan ada perubahan dalam dasar kerajaan.
Perubahan itu, katanya, yang kerajaan perlu jelaskan.
Menurut Zainul, sesetengah pihak merasakan berlaku campurtangan dalam proses mahkamah lantaran isu berbangkit ketika kempen pilihan raya sedang berlangsung.
“Setiap litigan berhak untuk meneruskan atau tidak meneruskan proses undang-undang, tetapi seolah-olah ia dilakukan untuk alasan yang tampak paling jelas, iaitu kempen pilihan raya,” katanya, dan menambah keputusan kerajaan kali ini berbeza dengan keputusan-keputusan sebelum ini dalam kes yang serupa dengannya.
Seorang peguam Sarawak, yang enggan dinamakan, pula menjelaskan Najib dan Adenan sebenarnya tidak masuk campur.
“JPN berada dibawah badan eksekutif dan badan eksekutif punyai hak untuk menasihat jabatan, maka tidaklah boleh dianggap sebagai masuk campur.
“Badan eksekutif hanya boleh dikatakan masuk campur sekiranya kes itu sedang dibicarakan,” kata peguam itu.
Semalam, Ketua Pengarah JPN, Sulaiman Keling berkata jabatannya, setelah mengkaji secara teliti, akan memohon untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan Roneey keluar agama Islam dan kembali ke agama Kristian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Menjawab perkembangan itu, kumpulan hak Melayu seperti PERKASA dan ISMA, serta wakil rakyat AMANAH, Mujahid Rawa, membidas campurtangan eksekutif dalam isu ini dan berkata proses undang-undang sepatutnya dibiarkan berjalan.