Azalina: Orang bukan Islam jangan cakap fasal agama saya
Menghormati sensitiviti agama adalah sebahagian daripada cara memupuk harmoni dalam negara pelbagai kaum, katanya.
KUALA LUMPUR: Orang bukan Islam sepatutnya tidak perlu komen mengenai Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bercakap pada seminar bertajuk “Penghayatan Ke Atas Patriotisme”, Azalina berkata menghormati sensitiviti adalah sebahagian daripada cara memupuk harmoni dalam negara pelbagai kaum.
“Bukan Islam tidak sepatutnya bercakap mengenai agama saya. Saya tak cakap fasal agama anda, anda tak cakap fasal agama saya.
“Ini sangat penting dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia,” katanya.
Azalina memetik kes Vivian Lee yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan semalam selepas didapati bersalah mengikut Akta Hasutan kerana memuat naik gambar dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh… fragrant, delicious and appetising)” di Facebook.
Beliau berkata golongan belia zaman sekarang perlu berhati-hati dengan apa yang mereka cakap di media sosial kerana ada antara komen yang dibuat boleh dianggap sebagai tidak sensitif.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kerajaan tidak menghalang belia meluahkan pendapat mereka dan membuat kritikan, tetapi ia perlu dibuat dengan cara yang selari dengan budaya negara serta menerusi saluran ditetapkan,” katanya.