PAS Pusat sedia kaji tarik balik kerusi PKR, DAP
Cadangan tersebut merupakan cadangan yang baik bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi parti pembangkang.
KOTA BHARU: PAS sedia mengkaji untuk mengambil kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dan DAP pada PRU-14 nanti.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai menjawab cadangan Dewan Pemuda parti Islam itu pada Muktamar Pemuda PAS ke-57 hari ini.
Katanya perkara itu perlu dilihat memandang kemelut yang yang melanda pakatan pembangkang perlu diselesaikan dengan segera selepas terkuburnya gabungan Pakatan Rakyat.
“PAS Pusat akan mengkaji cadangan tersebut. Bincang di peringkat pusat, kita akan teliti bersama-sama rakan kita PKR.
“Itu satu cadangan positif, baik untuk lihat kemenangan bagi rakyat. Saya fikir yang penting supaya kemelut yg ada ini dapat dihentikan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-57 di Kota Bharu hari ini.
Tambah Tuan Ibrahim, tahaluf siyasi dengan parti politik lain memang sentiasa dibuat kajian termasuk agihan kerusi, kekuatan sokongan serta jentera pilihan raya.
“Saya seringkali sebut pembangkang sepatutnya bersatu dalam erti kata lain, ruang yang ada kekuatan untuk menang kita beri kepada parti tersebut,” katanya.
Dalam ucaptama Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menyarankan pimpinan PAS mengkaji kembali agihan kerusi DUN dan Parlimen yang bakal ditandingi parti Islam itu dalam PRU14.
“Besarlah hasrat dan hajat Pemuda PAS agar pucuk pimpinan parti mengkaji semula agihan kerusi Parlimen dan DUN yang bakal ditandingi PAS dalam PRU-14 akan datang,” katanya memulakan bicara mengukuhkan kedudukan PAS menghadapi cabaran PKR, DAP dan BN.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ucapannya ditandai dengan kewaspadaan terhadap kerjasama dengan parti-parti lain, seraya menunjukkan PAS tidak mahu melupakan layanan parti-parti sepakatan dahulu terhadap mereka