8 cedera letupan kelab malam di Puchong
Kejadian berlaku ketika pengunjung menonton siaran langsung Euro 2016 yang menampilkan pasukan England dan Iceland.
PETALING JAYA: Lapan orang cedera selepas letupan dipercayai bom di sebuah kelab hiburan di Puchong, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata letupan berlaku di kelab malam Movida di IOI Boulevard pada jam 2.15 pagi.
Menurut beberapa laporan termasuk kiriman media sosial, pengunjung ketika itu sedang menonton siaran langsung Euro 2016 yang menampilkan pasukan England dan Iceland.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Puchong dilaporkan menerima laporan kejadian pada kira-kira 3 pagi.
Lima daripada mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan manakala tiga lagi dihantar dan Hospital Sunway, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
“Sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 30 meter dari premis itu turut rosak akibat letupan tersebut,” katanya.
Sekumpulan anggota Unit Forensik polis dilihat melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Suspek kejadian masih dijejaki.