Silap benarkan kereta China tembusi pasaran tempatan, kata Dr M
Sebaliknya, industri kereta tempatan menghadapi pelbagai halangan tembusi pasaran China.
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya membuat kesilapan dalam membenarkan kereta buatan China dijual di pasaran Malaysia kerana ia tidak adil kepada industri kereta tempatan.
Ini kerana syarikat kereta Malaysia tidak dibenarkan menembusi pasaran China dengan mudah, kata bekas perdana menteri itu.
“Kita tidak boleh ke China dan mengeksport kereta pasang siap ke China. Malah kita tidak dibenarkan mengilang kereta di sana tanpa lesen khas, dan mendapatkan lesen ini amat sukar,” kata Dr Mahathir dalam temu ramah bersama South China Morning Post baru-baru ini.
Great Wall dan Chery merupakan antara jenama kereta buatan China yang dijual di Malaysia.
Dr Mahathir, yang memainkan perana penting dalam penubuhan industri kereta nasional pada 1980-an, berkata beliau menyokong hubungan erat dengan Beijing, tetapi ia tidak semestinya mengorbankan kepentingan negara.
“Sementara kita terbuka dan mesra, kita juga perlu fikirkan keperluan rakyat sendiri.”
Beliau turut mempersoalkan penjualan aset tenaga milik 1MDB kepada sebuah syarikat gergasi China pada tahun lepas.
“Ini stesen jana kuasa dimiliki orang Malaysia, kamu membelinya kemudian menjualnya kepada negara lain. Itu salah,” kata Dr Mahathir, merujuk pembelian Edra Global Energy oleh China General Nuclear Power Group (CGN) pada harga AS$2.3 bilion.
“Orang kita ada duit untuk menjalankannya. Mereka juga menjalankannya dengan baik. Tetapi kamu menawarkan membeli (aset tenaga) pada harga lebih tinggi daripada pasaran, dan menjualnya pada harga rendah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Ianya sedikit bodoh, bukan?”