LGE tak perlu letak jawatan, kata DAP Penang
DAP Pulau Pinang lancar kempen derma mengumpul sejumlah RM1 juta untuk ikat jamin Ketua Menteri Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Lim Guan Eng tidak perlu meletak jawatan Ketua Menteri memandangkan dakwaan rasuah itu merupakan pendakwaan politik, kata Exco Chow Kon Yeow.
Pengerusi DAP Pulau Pinang menjelaskan parti mengambil pendirian Guan Eng tidak bersalah walaupun beliau berdepan dua pendakwaan rasuah.
“Maka, jawatankuasa DAP negeri memutuskan tidak ada keperluan untuk Guan Eng meletak jawatan Ketua Menteri atau berehat daripada menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua eksekutif negeri.
“Kami ingin menyakinkan rakyat Pulau Pinang bahawa keadaan urusan dalam kerajaan negeri masih seperti biasa dan kerajaan negeri tidak terjejas dengan dakwaan rasuah itu,” kata Kon Yeow dalam satu sidang media.
Beliau menambah Jawatankuasa Eksekutif Pusat akan bermesyuarat esok di ibu negara antara lain untuk membincangkan pendakwaan terhadap Guan Eng.
Pagi hari ini, Guan Eng dan bekas tuan rumahnya, Phang Li Koon didakwa atas dakwaan melibatkan kelulusan perlinkungan semula tanah pertanian dan pembelian hartanah pada harga bawah nilai pasaran.
Mereka mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata satu kutipan derma khas dilancarkan untuk mengumpul dana membayar ikat jamin Guan Eng.
Ikat jamin pemimpin DAP itu ditetapkan pada RM1 juta.
Zairil berkata jawatankuasa mendapati jumlah ikat jamin itu melampau dan pandangan itu turut dikongsi para penyokong parti.
“Ramai orang yang mahu menyumbang bertanyakan kepada kami.
“Sepatutnya, ikat jamin ditetapkan supaya orang itu tidak melarikan diri daripada pendengaran mahkamah, tetapi ini sudah melampau. Kita semua tahu Guan Eng tidak akan melarikan diri,” tambahnya, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.
Zairil menyeru para penyokong supaya menderma ke akaun Maybank: “DAP Penang – 5070 1301 4596”
Kon Yeow menjelaskan ikat jamin Guan Eng dibayar menggunakan dana DAP Pulau Pinang, dengan tambahan daripada DAP Pusat.
“Kita hanya ada baki RM890,000 dalam akaun kami. Jadi bendahari kebangsaan tambah RM110,000 lagi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Hasil derma orang ramai akan membantu kami bayar DAP Pusat dan memulihkan akaun kami,” katanya.