Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pilihan raya negeri bazir wang rakyat – Umno

July 11, 2016

Zainal Abidin berkata, kes dihadapi Guan Eng hanya melibatkan dakwaan salah laku ketua menteri itu sendiri, bukannya kerajaan negeri.

Penang-Umno-Chief-Zainal-Abidin-Osman

GEORGE TOWN: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan berikutan pertuduhan rasuah terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng disifatkan tidak wajar dan pembaziran wang rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kes dihadapi Guan Eng hanya melibatkan dakwaan salah laku ketua menteri itu sendiri, bukannya kerajaan negeri.

“Adalah tidak wajar berjuta-juta ringgit wang rakyat dibelanjakan untuk mengadakan referendum hanya kerana Lim tidak mahu bercuti atau melepaskan jawatan ketua menteri walaupun sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

“Kenapa Lim dan kerajaan negeri perlu mengheret rakyat dalam kes rasuah yang sedang dihadapi Lim sedangkan ruang dan peluang luas telah disediakan sistem kehakiman dan mahkamah negara untuk beliau membuktikan yang beliau tidak bersalah?” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Zainal Abidin berkata demikian berikutan laporan di media sosial kerajaan DAP Pulau Pinang sedang mempertimbang cadangan membubarkan DUN ekoran tuduhan rasuah terhadap ketua menteri.

Zainal Abidin turut menyifatkan cadangan itu sebagai muslihat politik DAP dan Pakatan Harapan untuk mengalih pandangan rakyat daripada kes rasuah itu.

“Pembubaran DUN lebih awal biasanya dilakukan oleh seorang ketua menteri yang sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap dirinya.

“Apakah ada kemungkinan Lim merasakan yang beliau sudah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN daripada Pakatan dan perlu membubarkan DUN?,” katanya.

Jelasnya, pilihan raya negeri atau referendum bukanlah penentu keputusan Guan Eng bersalah atau tidak, sebaliknya ia hanya akan diputuskan melalui perbicaraan di mahkamah.

Pada 30 Jun lepas, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

– BERNAMA


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments