India cuba lagi panggil Ananda Krishnan soal siasat
Surat perintah itu akan diserahkan kepada Ananda melalui Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Tan Sri Ananda Krishnan dan bekas pengarah Maxis Berhad, Ralph Marshall dipanggil ke Jabatan Penguatkuasaan (ED) di bawah Kementerian Kewangan India November ini bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dalam pembelian Aircel Ltd pada 2006.
“Ini adalah kali pertama ED yang menyiasat (aktiviti) pengubahan wang haram memanggil promoter Maxis ke jabatan itu. Permintaan terbaru itu disertakan dengan lebih banyak bukti. Kami berharap pihak berkuasa Malaysia akan bekerjasama,” kata seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri India kepada akhbar perniagaan negara itu, Economic Times (ET).
Terdahulu, mahkamah di India mengeluarkan surat rasmi kepada mahkamah di Malaysia bagi mendapatkan bantuan memerintahkan taikun telekomunikasi Malaysia itu memberi keterangan di India, tetapi gagal.
Arahan itu dikeluarkan kepada Ananda dan Ralph di bawah perjanjian bantuan guaman bersama (MLA) yang ditandatangani dengan Malaysia pada 2012. Kementerian Dalam Negeri di India yang bertanggungjawab terhadap perjanjian itu akan menyerahkan surat perintah itu melalui Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
Ananda dan Ralph dikaitkan dengan dakwaan salah laku dalam pembelian kepentingan pengendali telefon mudah alih India, Aircel Ltd pada 2006 di mana melalui pembelian itu, Ananda memiliki 74% saham Aircel dan mengambil alih syarikat itu.
Ananda dinamakan dalam kertas pertuduhan Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) dan ED yang merupakan sebuah agensi siasatan kewangan khas di bawah Jabatan Hasil, Kementerian Kewangan India untuk kes berkenaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Bekas pemilik Aircel, C Sivasankaran menerusi satu laporan kepada CBI pada 2011 mendakwa Menteri Telekom pada 2006, Dayanidhi Maran memberi tekanan dan mengarah beliau menjual sahamnya di Aircel kepada Ananda yang merupakan kawan baik menteri itu. Dayanidhi kemudiannya didakwa mempengaruhi penjualan itu dan mendapat keuntungan daripadanya.