‘Kabali bukan ubat derita India di Malaysia’
Ramasamy membidas pemimpin MIC yang dilanda demam Kabali tetapi gagal menyelesaikan masalah kaum India di negara ini.
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy hari ini mengingatkan masyarakat India di negara ini jangan terlalu teruja dengan filem Kabali lakonan bintang Tamil, Rajnikanth.
“Sekiranya masyarakat India perlu kepada filem komersil bagi kebangkitan mereka, ia sesuatu yang sedih bagi masa depan mereka,” katanya merujuk kepada “demam Kabali” yang digembar gemburkan media tempatan.
Ramasamy mengingatkan hero filem itu bukan seseorang yang banyak berjasa kepada rakyat negeri Tamil Nadu di India.
“Ironinya, keuntungan dan sumber pelaburan beliau datang daripada penduduk Tamil miskin di Tamil Nadu,” katanya.
Beliau mengingatkan filem itu merupakan karya fiksyen walaupun banyak adegannya cuba secara tidak langsung menggambarkan keperitan hidup masyarakat India di negara ini.
Ramasamy menempelak pemimpin MIC yang turut dijangkiti demam “Kabali”.
“Pelik pemimpin MIC yang gagal menangani masalah komuniti India perlu diingatkan tentang apa yang perlu dilakikan dengan menonton sebuah filem komersil seperti Kabali.
“Ratusan filem seperti Kabali tidak akan mengubah situasi buruk masyarakat India di negara ini. Apa yang mereka perlu ialah perubahan besar politik, perubahan yang memberikan harapan dan makna kepada kaum India yang sudah lama didiskriminasi dan disisihkan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno, kata Ramasamy.
Sebahagian besar penggambaran filem terbaru Rajnikanth itu dibuat di Malaysia dan turut mempunyai versi yang dialih suara ke bahasa Malaysia.
Ia mula ditayangkan Jumaat lalu di Kuala Lumpur, dihadiri beberapa pemimpin tertinggi MIC, termasuk Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Presiden Datuk Seri S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.
Pemimpn MIC terasa
Ramasamy berkata masyarakat India negara ini tidak perlu merujuk kepada Kabali dalam memahami pengalaman lebih 60 tahun menjadi apa yang disebut sebagai “warga kelas ketiga” di negara ini.
Malah, beliau berkata Kabali cuba menyimpulkan masalah kaum India.
“Ia merumuskan sejarah 200 tahun komuniti itu ke dalam 150 minit. Malah sejarah yang dipaparkan juga diputarbelit bagi mengutamakan nilai komersil. Tiada mesej serius, selain cuba memberitahu beberapa amalan orang India membantutkan kemajuan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Ramasamy berkata penampilan kecil filem itu terhadap masalah kaum India di Malaysia tidak disenangi pemimpin MIC, sehingga salah seorang mereka terus memuji kerajaan Barisan Nasional selepas menonton filem itu
“Mungkin dia terguris dengan beberapa adegan yang mengingatkan kepadanya kegagalan menangani nasib kaum India dan bagaimana MIC gagal mewakili komuniti itu.
“Penggambaran Kabali tidak akan dilakukan di Malaysia sekiranya MIC dan parti politik menjalankan peranan mereka,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
BACA JUGA: MIC: Ramasamy ‘dengki’ tidak dijemput tonton Kabali