MIC: Ramasamy ‘dengki’ tidak dijemput tonton Kabali
MIC tidak pernah mengabaikan kebajikan masyarakat India, sejak 70 tahun parti itu ditubuhkan.
PETALING JAYA: MIC hari ini membalas balik kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang menuduh pemimpin MIC terlalu teruja dengan filem Kabali lakonan Rajnikanth.
Sebaliknya, Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh berkata P. Ramasamy sebenarnya iri hati dengan dengan pengiktirafan pemimpin MIC yang dijemput pada tayangan perdana filem tersebut minggu lalu.
“Dia jadi macam itu sebab dia nyayuk, sebab tak boleh jadi ketua menteri. Ramasamy kena jaga negeri dia sendiri dulu sebelum membuat sebarang tuduhan, jemputan kepada pemimpin MIC untuk merasmikan filem tersebut merupakan satu penghormatan kepada pemimpin MIC.
“Saya rasa Ramasamy ini dengki la, sebab dia tidak dijemput,” katanya kepada FMT.
Sivarraajh menambah, MIC tidak pernah lari daripada tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat India, berbanding pemimpin DAP yang menurutnya dalam kedudukan terumbang ambing.
“Kita sudah 70 tahun tubuh parti MIC dan sudah banyak benda kita buat, malah apa yang dicapai oleh masyarakat India di negara ini adalah hasil usaha MIC bersama kerajaan BN.
“DAP baru tujuh tahun (mentadbir Pulau Pinang) sahaja, itu pun sudah gaduh sama sendiri, banyak rasuah, baru jadi ketua menteri beli rumah mahal dengan harga murah, dan kes Ramasamy pun kita tidak tahu apa yang dia beli.
“Saya rasa Ramasamy jangan jaga tepi kain orang lain, kita tahu tanggungjawab kita untuk masyarat India,” katanya.
Terdahulu, Ramasamy mengingatkan masyarakat India negara ini jangan terlalu teruja dengan filem Kabali, sekaligus menempelak pemimpin MIC yang turut dijangkiti demam Kabali.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kabali mula ditayangkan Jumaat lalu di Kuala Lumpur, dihadiri beberapa pemimpin tertinggi MIC, termasuk Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Presiden Datuk Seri S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.