Pemilik Rayani Air ke India cari pelabur, bukan larikan diri
Karthiyani yakin lawatannya ke India menemukan beliau dengan beberapa pelabur berpotensi.
PETALING JAYA: Pemilik syarikat penerbangan Rayani Air, Ravi Alagendrran dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan menafikan khabar angin mereka melarikan diri ke India.
Sebaliknya, pasangan mengakui berada di India untuk mendapatkan pelabur.
“Kami masih di India mencari pelabur. Ada urusan dengan satu lagi pelabur,” kata Karthiyani, petik Mstar.
Katanya juga, kedua-dua mereka akan pulang ke Malaysia pada 28 Julai selepas rundingan dengan pelabur tamat.
“Mereka sedang membuat penilaian. Bukan mudah untuk dapatkan syarikat penerbangan lain bagi mengadakan kerjasama,” kata Ravi pula yang bagaimanapun enggan mendedahkan nama pelabur tersebut.
Khabar angin dalam kalangan kakitangan Rayani Air dan pelanggannya menyatakan Ravi dan Karthiyani melarikan diri ke India selepas kedua-duanya tidak dapat dihubungi wakil pekerja Rayani Air, Zulkalnain Azdan.
“Saya menghubungi Karthiyani pada 15 Julai lalu dan diberitahu akan berlepas ke India pada hujung minggu tersebut.
“Selepas itu saya tidak dapat hubungi mereka dan mesej saya bertanya tentang perkembangan mengenai pelabur pun tidak dijawab.
“Ramai pekerja yang bertanya kepada saya mengenai kesahihan dakwaan itu (larikan diri).
“Oleh kerana mesej dan pertanyaan saya tidak dijawab Karthiyani, bagaimana saya hendak jelaskan kepada pekerja? Saya sendiri tak tahu perkembangan dan perkara sebenar,” katanya kepada portal itu.
Dalam pada itu, Karthiyani pula yakin lawatannya ke India menemukan beliau dengan beberapa pelabur berpotensi.
“Kita akan memaklumkannya bila semuanya sudah pasti,” katanya.
Sebelum ini, Ravi dilapor bersetuju mengikut tiga syarat pekerjanya bagi menghidupkan kembali syarikat penerbangan itu.
Syaratnya ialah, pasangan itu tidak lagi menerajui Rayani Air dan memberi kuasa pengurusan kepada pelabur.
Kedua, urusan permohonan lesen dan pelabur membabitkan wakil pekerja dan perjanjian pelaburan dilakukan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tanpa campur tangan Ravi dan Karthiyani.
Mavcom membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik Rayani Air pada 13 Jun lalu ekoran pelanggaran syarat-syarat lesen selain kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.
Ia diikuti pembatalan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada hari sama.
Rayani Air dikatakan perlu membuat permohonan baharu ASL dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, supaya boleh beroperasi semula.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Rayani Air yang memulakan operasinya pada 20 Disember lalu, merupakan syarikat penerbangan pertama di negara ini berlandaskan patuh syariah.