Agamawan bisu kerana cari makan, kata Kassim Ahmad
Nampaknya golongan muda terpaksa ambil alih peranan yang sepatutnya dijuarai orang-orang agama, kata penulis kontroversi itu
KUALA LUMPUR: Seakan kecewa dengan kegagalan sesetengah agamawan dalam menyuarakan keresahan masyarakat, penulis kontroversi Kassim Ahmad meletakkan tanggungjawab itu kepada golongan muda.
“Agamawan yang cari makan,” katanya ringkas ketika ditanya berhubung kebisuan sesetengah golongan agama di saat negara dilanda pelbagai isu, terutama 1MDB.
Beliau berkata, golongan muda perlu membawa suara masyarakat dengan ‘pandangan baru dan bersemangat’ mereka.
“Pengajaran untuk golongan muda. Saya memberi harapan kepada dunia baharu yang sedang lahir, dengan fikiran dan konsep baharu. Ia sebenarnya bukan baru, tetapi (konsep) lama (yang lahir semula),” katanya lagi.
Kassim adalah tokoh kontroversi dan sikap kritisnya terhadap golongan agama bukanlah perkara baru, dan kerana itu beliau sekian lama ‘diburu’ pihak berkuasa agama yang tidak setuju dengan pandangannya.
Malah di saat usianya menghampiri 83 tahun, Kassim masih perlu turun naik mahkamah selepas didakwa atas tiga tuduhan menghina Islam dan pihak berkuasa agama dua tahun lalu.
Beliau yang jarang tampil di khalayak ramai hadir mendeklamasikan beberapa sajaknya – antaranya Sidang Ruh dan Dialog – serta memberi syarahan di sebuah program hari ini.
Ketika sesi syarahan, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (1976-1981) itu sempat membangkitkan kepentingan bersuara di saat negara berhadapan pelbagai isu dan dakwaan.
“Quran mengajar kita menyeru kepada kebaikan dan menentang kejahatan. Berapa ramai menentang kejahatan yang berlaku dalam negara kita, dengan isu seperti 1MDB dan korupsi.
“Jangan maut kita kerana bisu,” katanya memetik sajak terkenalnya ‘Sidang Ruh’ yang ditulisnya lebih 50 tahun lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Bukan juga kerana taat setia atau undang-undang, tetapi kerana kebenaran,” katanya lagi.