Gunalan yakin insiden pergaduhan pemain diselesai secara baik
Insiden berlaku semasa perlawanan memasuki masa tambahan apabila berlaku pertengkaran antara Ugochukwe dan Bunyamin.
“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain dan insiden ini akan dibawa kepada pihak pengurusan pasukan untuk penyelesaian yang terbaik demi kebaikan pemain dan pasukan,” kata Gunalan kepada pemberita sebaik tamat perlawanan Liga Super antara Selangor dan Sarawak yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Negeri di sini, semalam.
Insiden itu berlaku di atas padang semasa perlawanan memasuki masa tambahan apabila berlaku pertengkaran antara Ugochukwe dan Bunyamin yang menyaksikan pemain berasal dari Nigeria itu menghantuk kepala Bunyamin sehingga luka dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Pengadil perlawanan Zilkifli Ahmad seterusnya melayangkan kad merah kepada Ugochukwu.
Gunalan bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana menurut beliau insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kedua-duanya merupakan pemain profesional.
Sementara itu, Gunalan walaupun menyatakan rasa puas hati dengan keputusan seri itu mahu pemain-pemainnya tidak mengulangi kesilapan sama apabila bermain dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti.
“Saya kagum dengan mutu permainan dan semangat juang pemain saya, tetapi mereka melepaskan terlalu banyak peluang menjaringkan gol dan saya berharap kesilapan yang sama tidak akan diulangi dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti,” tambahnya.
Dalam perlawanan malam tadi, Sarawak terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-39 hasil tendangan penalti pemain import Junior Aparecido Guimaro.
Selangor bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-75 menerusi pemain gantian Adam Nor Azlin.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram