Siapa pun boleh tanding jadi presiden FAM
Setiausaha agung FAM berkata demikian menjawab saranan Tunku Mahkota Johor supaya kerusi presiden tidak diisi golongan diraja.
Hamidin berkata individu yang ingin menjadi presiden badan induk bola sepak negara itu hanya perlu mendapat pencalonan ahli gabungan FAM, yang antaranya terdiri daripada persatuan bola sepak negeri.
“Sesiapa saja boleh bertanding, tiada paksaan. Yang penting, (individu itu) berminat untuk menyumbang kepada bola sepak negara,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat Liga Bolasepak Rakyat (LBR) di Hotel Quality, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 5 Ogos lalu, agar presiden FAM akan datang bukan golongan diraja mahupun yang berkepentingan dalam persatuan negeri atau kelab yang mengambil bahagian.
Hamidin berkata tarikh pencalonan akan ditetapkan selepas mesyuarat ahli jawatankuasa FAM yang mungkin diadakan Oktober ini.
Selepas sekian lama dikemudi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan kini anaknya Tengku Abdullah, jawatan presiden FAM menjadi perbualan ramai selepas Tengku Abdullah mengumumkan tidak akan mempertahankan kedudukannya.
Baginda beberapa kali menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan, antaranya selepas kekalahan memalukan 0-10 Malaysia di tangan Emiriah Arab Bersatu pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, September lalu.
FAM menolak hasrat itu namun mengumumkan akan mempercepatkan kongres pemilihan yang sepatutnya diadakan pada 2018 ke tahun depan.
Sementara itu, beliau menyambut baik peningkatan kuota pemain bawah 21 tahun daripada 5 kepada 10 pemain bagi pasukan yang bertanding dalam LBR.
“Liga ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Tidak mustahil ia akan melahirkan pemain yang bakal menjada tonggak bola sepak negara.
“Walaupun liga ini bertaraf amatur, FAM selaku penasihat teknikal akan memastikan ia berjalan secara profesional,” katanya pada sesi taklimat sebelum itu.
LBR yang diilhamkan Tengku Abdullah diadakan sejak 2015 dan merupakan liga peringkat keempat negara dengan disertai pasukan peringkat daerah.
Pautan
Presiden FAM bukan jawatan untuk golongan diraja, kata TMJ
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram