AirAsia antara syarikat paling banyak aduan pengguna Australia
Daftar aduan yang baru diwujudkan itu mendapati syarikat penerbangan tambah murah itu di tempat ke-3 dalam senarai 20 perniagaan di New South Wales.
Daftar Aduan yang disediakan Suruhanjaya Perniagaan Adil NSW, yang memantau amalan perniagaan di negeri itu, mendapati syarikat penerbangan tambang murah beribu pejabat di Kuala Lumpur itu di tempat ke-3, di belakang syarikat pengurusan hartanah LJ Hooker dan kedai barangan rumah Harvey Norman.
Daftar yang pertama kali diterbitkan itu memuatkan mana-mana syarikat yang menjadi punca aduan pengguna lebih daripada 10 kali setiap bulan.
Pesuruhjaya Rod Stowe berkata daftar itu memperkasakan hak pengguna pada masa sama menggalakkan perniagaan lebih bertanggungjawab kepada pelanggan.
Bagaimanapun, ia dikritik pemilik perniagaan yang mempersoalkan kriteria yang digunakan pada masa sama memberikan tanggapan buruk kepada syarikat.
Bagaimanapun, Stowe berkata sejak daftar itu dimulakan bulan lalu, beberapa syarikat tergerak menambah baik amalan perniagaan mereka.
“Pada saya, daftar ini satu kejayaan. Beberapa perniagaan kini komited tidak mahu lagi tersenarai di dalamnya dan mula membuat perubahan menyeluruh dalam amalan perniagaan mereka serta kaedah menyelesaikan sesuatu aduan,” katanya dipetik SMH.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram