Muslim konservatif bukan ekstremis, kata NGO Islam
Adli Zakuan daripada Abim berkata umat Islam percaya Tuhan menyeru perbezaan pendapat sebagai satu belas ihsan dan berkat, maka mereka yang menolak pendapat orang lain ialah ekstremis.
PETALING JAYA: Muslim moderat tidak boleh melabelkan mereka yang mempunyai pendapat lebih konservatif terhadap Islam sebagai ekstremis, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Adli Zakuan.
Bercakap pada forum bertajuk “Membalas Naratif Ekstremisme” di The School, Jaya One semalam, Adli berkata umat Islam percaya Tuhan menyeru perbezaan pendapat sebagai satu belas ihsan dan berkat.
“Tugas kita bukan untuk mengubah pendapat seseorang tetapi untuk menyediakan pandangan yang berbeza.
“Perlu adanya bantahan terhadap idea dan pada pandangan saya, karakter seorang ekstremis ialah mereka yang menolak pendapat orang lain,” katanya.
Aktivis media sosial Shafiqah Othman berkata Muslim liberal merujuk Muslim konservatif sebagai “sampah liberal” kerana mereka tidak dapat menjustifikasikan cara mereka berfiikir.
“Saya menulis untuk berkongsi apa yang saya tahu dan harapan saya mereka yang membacanya di media sosial akan buat kajian sendiri.
“Satu-satunya cara untuk orang menghormati pendapat kita ialah untuk mempunyai banyak pengetahuan mengenai mufti dan ulama konservatif, kerana tidak salah lagi, mereka berpengetahuan tinggi dan mampu menyokong keterangan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Iman Research, Dina Zaman mendakwa banyak ideologi ekstremis datang daripada ulama asing dari luar negara yang tidak dikenali dan berdakwah secara rahsia.
“Ada ulama dari luar datang ke rumah saya dan berdakwah selama 2 jam kepada keluarga saya mengenai bagaimana mengambil wuduk.
“Paling menakutkan ialah bila saya tanya sama ada ia daripada Al-Quran atau hadis Nabi, dia hanya kata “tidak”,” katanya.
Beliau mendakwa jumlah ulama luar yang berdakwah secara sembunyi semakin ramai datang ke negara ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Jadi, ideologi ekstremis bukan daripada ulama atau mufti kita, mereka datang dari luar dan saya rasa kita perlu mula memantau ulama yang datang ke sini, tahu di mana mereka belajar dan dapat sumber mereka,” katanya.