Saya bukan berlagak, kata TMJ
Katanya, baginda orang paling sesuai mengubah bola sepak tanah air kerana mempunyai formula dan formula itu berjaya dalam JDT.
PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau bukan mahu berlagak tetapi berasakan jika skuad kebangsaan berada di bawah kelolaannya, mereka pasti boleh lakukan perkara sama seperti pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT).
Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers semalam berkata ini kerana baginda mempunyai formula dan ia berjaya dalam JDT.
“Saya ingin berterus terang, bukan kerana disebabkan angkuh atau mahu berlagak, tetapi saya orang paling sesuai untuk mengubah bola sepak tanah air. Bukan mahu cakap besar, tetapi saya tahu saya mempunyai formula dan formula itu berjaya dalam JDT.
“Sekiranya saya mengambil alih skuad kebangsaan, mereka pasti boleh lakukan perkara yang sama sepertimana JDT tetapi bukanlah terus menang.
“Anda kena tahu, secara realistiknya banyak kelemahan dalam FAM untuk tempoh 30 tahun, jadi sekiranya saya ambil alih pun sekurang-kurangnya saya memerlukan 4 tahun untuk mengubahnya,” katanya.
TMJ berkata setiap kali ditanya mengenai baginda menjadi presiden FAM, hatinya berbelah bahagi, kerana tahu perubahan yang boleh dilakukannya tetapi pada masa sama, baginda tidak mahu.
“Saya macam 50/50 kerana saya tahu perubahan yang saya boleh lakukan. Tetapi dalam masa sama saya tidak mahu. Hanya penyokong JDT saja yang menghargai perubahan yang saya buat.
“Tetapi orang lain yang rasa macam dah pandai sangat, terutama dalam laman web ‘lain-lain’. Saya rasa kenapa tidak lantik mereka saja untuk menguruskan pasukan bola sepak tanah air, kenapa perlu saya pula?,” katanya.
TMJ bagaimanapun berkata baginda tidak boleh berbuat demikian untuk pasukan kebangsaan kerana komitmennya di Johor dan hanya boleh membantu memberikan pandangan.
“Fokus saya masih di sini (JDT) kerana banyak lagi tugasan saya yang belum selesai seperti belum lagi layak ke pentas saingan ACL, stadium dan akademi baharu juga masih belum siap,” katanya.
Katanya, hanya penyokong JDT yang menghargai perubahan dilakukannya dan di kelab itu tempat untuk baginda boleh berkongsi kejayaan dengan orang yang bermakna dalam hatinya.
“Bukan saya memandang rendah kepada negara, tetapi saya seorang yang jujur dan telus. Saya tidak boleh memberikan komitmen yang sama kepada pasukan kebangsaan sepertimana dengan JDT kerana cinta saya kepada JDT.
“Saya suka apabila saya sampaikan sesuatu bukan datang daripada mulut tetapi hati saya,” katanya.
Pautan:
Siapa pun boleh tanding jadi presiden FAM
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram