Kelab bola sepak Rohingya tangani prejudis di Malaysia
Ribuan masyarakat Rohingya lari dari Myanmar ke negara majoriti Islam terutama di Malaysia untuk keluar daripada diskriminasi di tanah air sendiri, di mana mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara.
Mohammed Farouque, 23, salah seorang daripada pelarian itu menggunakan bola sepak untuk mengumpul golongan muda Rohingya di negara ini, supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sepatutnya.
“Sejak lahir, saya tidak tahu apa itu kebebasan,” katanya yang juga salah seorang daripada pelarian yang mengendalikan Kelab Bola Sepak Rohingya itu di Kuala Lumpur.
“Kami boleh bermain bola sepak secara terbuka di sini. Di Myanmar kami tidak dibenarkan keluar dari rumah pun. Saya terpaksa tinggalkan negara saya untuk menyelamatkan nyawa.”
Ribuan Rohingya lari ke negara majoriti Islam terutama di Malaysia untuk keluar daripada diskriminasi di tanah air sendiri, di mana mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara.
Selepas perjalanan yang penuh liku dan kadangkala membawa maut ke Malaysia, masalah mereka masih belum selesai.
Kira-kira 150,700 pelarian dan suaka politik di Malaysia hidup dalam bayang-bayang masyarakat, disekat daripada bekerja secara rasmi atau menerima pendidikan formal. Sering dilihat sebagai pendatang haram, mereka biasanya kurang berhubung dengan rakyat Malaysia.
Menerusi bola sepak, Rohingya mempunyai lebih 1 gol dalam fikiran. Mereka melihatnya sebagai cara mengelak golongan muda komuniti itu terjebak dengan masalah, selain sebagai peluang memecahkan ‘tembok’ dengan warganegara tempatan.
“Di Malaysia, kami tidak dibenarkan bekerja dan tidak ada sokongan. Kami tidak mahu anak muda kami terbabit dengan jenayah, jadi kami galakkan mereka berkumpul main bola sepak,” kata Farouque.
“Kami mahu tunjukkan kepada dunia, Rohingya boleh capai sesuatu yang hebat,” katanya yang berusia 23 tahun ketika ditemui pada waktu rehat dalam pertandingan dengan satu lagi pasukan Rohingya dari Melaka.
Kelab Bola Sepak Rohingya ditubuhkan pada 2015 dan pemainnya berusia antara 18 dan 30 tahun. Kelab itu setakat ini mengadakan beberapa pertandingan persahabatan dengan pasukan tempatan.
Perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Melaka itu diadakan di Ampang, dengan kira-kira 100 pelarian lain dan warga tempatan berkumpul di tepi padang, menonton dan bersorak.
Pengadil pertandingan, Pannir Selvan, seorang rakyat tempatan berkata beliau mengetahui mengenai pasukan bola sepak pelarian itu selepas melihat beberapa anak muda berlatih di situ.
Selain menjadi sukarela sebagai pengadil, beliau kadangkala menyertai pertandingan bersama mereka dan berkata pelarian menunjukkan semangat luar biasa untuk mencapai kecemerlangan.
“Mereka bergembira, saya suka bermain dengan mereka. Saya gembira dan berbangga dengan mereka.
“Kita perlu lakukan lebih lagi. Kita orang Malaysia, tinggal bersama mereka di bawah satu bumbung, di negara yang sama, kita perlu lebih mengenali mereka,” katanya.
Di sebalik semangat mereka yang berkobar, pemain bola sepak Rohingya hanya dapat berlatih sesekali kerana tiada wang.
Kelab itu memerlukan RM350 sebulan untuk kos menyewa tempat berlatih.
Farouque berkata cita-citanya kini ialah ingin menyertai Pasukan Pelarian di Olimpik.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram